Glomac rugi bersih RM1.42 juta pada 1QFY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Glomac rugi bersih RM1.42 juta pada 1QFY2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept – Glomac Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.42 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025 (1QFY2026), berbanding keuntungan bersih RM7.28 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.

 

Ini adalah kerugian suku tahunan pertama bagi pemaju hartanah itu sejak suku keempat tahun kewangan 2020, berikutan penurunan ketara hasil daripada segmen pembangunan hartanah.

 

Hasil suku tersebut jatuh 64.4% tahun ke tahun kepada RM26.05 juta berbanding RM73.29 juta, terutamanya disebabkan sumbangan lebih rendah daripada fasa pembangunan yang masih di peringkat awal.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Glomac berkata, hasil daripada pembangunan hartanah merosot 71.3% kepada RM19.17 juta, manakala pendapatan pelaburan hartanah meningkat 3% kepada RM6.55 juta.

 

“Bagaimanapun, margin keuntungan kasar Glomac meningkat kepada 34.3% berbanding 30.9% pada suku sama tahun lalu,” katanya.

 

Glomac berkata, peningkatan itu didorong sumbangan lebih tinggi daripada projek dengan margin besar seperti rumah kedai di Saujana Perdana dan rumah berkembar separa KEYS di Lakeside Residences.

 

t
KEYS di Lakeside Residences

 

“Kumpulan merancang untuk melancarkan kira-kira RM600 juta nilai projek untuk dijual, meliputi projek sedang berjalan dan fasa baharu pembangunan kediaman bertanah yang kekal menerima permintaan kukuh.

 

“Antara pelancaran utama ialah fasa baharu rumah teres Serai di Sungai Buloh Country Resort.

 

“Serai 1 yang merangkumi 112 unit rumah teres dua tingkat dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM72 juta telah habis dijual. 

 

“Susulan itu, Serai 2 dilancarkan pada Mei 2025 dengan sambutan memberangsangkan, manakala Serai 3 dijadualkan dilancar pada suku ketiga FY2026,” katanya.

 

Selain itu, pelancaran lain yang dirancang sepanjang tahun termasuk rumah teres di Saujana Jaya, Kulai, serta rumah berkembar separa di Saujana Rawang. 

 

Secara keseluruhan, Glomac memiliki portfolio tanah strategik dengan GDV dianggarkan melebihi RM6.6 bilion.

 

Dari sudut kedudukan kewangan, Kumpulan mengekalkan kedudukan tunai bersih kukuh dengan jumlah tunai dan setara tunai sebanyak RM243.2 juta, selain disokong oleh Program Sukuk Wakalah sehingga RM3.0 bilion.

 

Menurut Glomac, kedudukan kewangan yang mantap ini memberi fleksibiliti untuk membiayai keperluan modal kerja, meneruskan pemerolehan tanah strategik serta meneroka kepelbagaian sinergi dalam perniagaan teras pembangunan hartanahnya. - DagangNews.com