Globetronics labur RM45 juta beli pegangan strategik dalam Mpire Global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Globetronics labur RM45 juta beli pegangan strategik dalam Mpire Global

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai - Globetronics Technology Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya Globetronics (KL) Sdn Bhd, telah memperoleh 30.85% pegangan saham biasa serta sejumlah besar waran dalam Mpire Global Bhd dengan nilai keseluruhan RM45.05 juta.

 

Langkah ini menjadikan Globetronics sebagai rakan strategik dalam Mpire, sejajar dengan strategi transformasi jangka panjang kumpulan untuk memperkukuh pertumbuhan mampan dan menjana nilai tambah kepada pemegang saham.

 

Globetronics berkata, pelaburan itu adalah satu peluang strategik yang sejajar dengan komitmen mereka terhadap pertumbuhan berterusan dan kepelbagaian perniagaan.

 

“Dengan memperoleh kepentingan ekuiti yang besar, kami berada dalam kedudukan yang kukuh untuk terlibat secara aktif dalam pengembangan Mpire dan memanfaatkan potensi sinergi yang wujud,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Mpire dan anak syarikatnya terlibat dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah, pengurusan armada yang merangkumi urus niaga jual beli serta penyewaan kenderaan, penyediaan penyelesaian pengurusan armada bersepadu, termasuk perkhidmatan selepas jualan dan pembiayaan bagi segmen pengguna serta komersial.

 

Globetronics menjangkakan pelaburan itu akan memberi kesan positif kepada keuntungan kumpulan dalam jangka sederhana dan panjang, sekali gus mengukuhkan prestasi kewangannya.

 

Dibiayai sepenuhnya daripada dana dalaman syarikat, pengambilalihan ini tidak akan memberi kesan material terhadap struktur modal atau nisbah keberhutangan Globetronics, justeru mengekalkan kestabilan kewangan kumpulan.

 

Transaksi pembelian dilakukan melalui pasaran terbuka dan luar pasaran, mencerminkan pendekatan pelaburan strategik dan proaktif Globetronics. 

 

Tiada liabiliti bersyarat atau jaminan yang timbul daripada pengambilalihan ini.

 

Globetronics menyifatkan keputusan pelaburan tersebut sebagai selari dengan kepentingan jangka panjang kumpulan dan para pemegang sahamnya, dengan manfaat strategik dan pulangan kewangan yang mampan. - DagangNews.com