KUALA LUMPUR 10 Dis – Kerajaan Sabah akan mengambil tindakan tegas terhadap peneraju syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun negeri yang gagal menunjukkan prestasi memuaskan, selaras usaha memperkukuh tadbir urus dan memastikan keberkesanan pelaksanaan agenda pembangunan negeri.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata walaupun setiap GLC dan badan berkanun mempunyai mandat berbeza sama ada berasaskan keuntungan komersial atau perkhidmatan sosial, semua entiti tetap perlu mempamerkan komitmen, kecekapan serta integriti yang tinggi.
Beliau turut mengarahkan supaya semua ketua organisasi menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan boleh diukur, sejajar dengan peranan masing-masing.
“Setiap ketua pegawai eksekutif, pengurus besar kumpulan dan pengurus besar yang dilantik mesti memberikan sumbangan secara bertanggungjawab seperti yang diharapkan oleh kerajaan dan rakyat bagi membantu memacu kemajuan Sabah.
“Dengan pemantauan yang lebih tersusun dan akauntabiliti yang lebih kukuh, agenda Sabah Maju Jaya 2.0 akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan membawa manfaat langsung kepada rakyat Sabah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet Negeri hari ini.
Menurut Hajiji, mesyuarat Kabinet juga memutuskan semua ketua GLC dan badan berkanun diwajibkan menghantar laporan prestasi bertulis setiap tiga bulan secara terus kepada Ketua Menteri bermula tahun depan.
Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan kerajaan negeri menerima maklumat yang tepat dan terkini mengenai kemajuan projek, kedudukan kewangan, penyampaian perkhidmatan serta prestasi keseluruhan setiap organisasi.
“Langkah ini penting untuk memantau prestasi setiap entiti secara berterusan. Mana-mana pihak yang gagal menghantar laporan, tidak memenuhi KPI atau menunjukkan prestasi tidak memuaskan akan disemak kedudukan masing-masing, termasuk kemungkinan dipindahkan atau ditamatkan perkhidmatan,” katanya.
Langkah penguatkuasaan ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh tadbir urus korporat sektor awam Sabah, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. - DagangNews.com








