GLC Pahang bawa masuk pelaburan RM17.43 bilion setakat 23 September 2025 - Menteri Besar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GLC Pahang bawa masuk pelaburan RM17.43 bilion setakat 23 September 2025 - Menteri Besar

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Sept – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Pahang  menyumbang sebanyak RM3.16 bilion atau 4.6% daripada nilai keseluruhan RM68.7 bilion Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri itu pada tahun 2024 yang menyokong pertumbuhan ekonomi Pahang pada kadar 5.7% melepasi kadar pertumbuhan nasional iaitu 5.1%.

 

Ketika ini, terdapat sembilan syarikat induk dan 48 anak syarikat yang beroperasi secara aktif di Pahang.

 

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, prestasi kewangan GLC Pahang turut menunjukkan peningkatan kukuh apabila hasil melonjak daripada RM2.4 bilion pada 2023 kepada RM3 bilion pada 2024. 

 


Beliau berkata, keuntungan bersih juga meningkat kepada RM616 juta, membuktikan keupayaan semua syarikat tersebut mengurus sumber dengan lebih efisien.

 

“Pulangan langsung kepada Kerajaan Negeri pula melebihi RM135 juta pada tahun lalu, memberikan sumbangan signifikan kepada hasil negeri. 

 

“Pada masa sama, nilai aset keseluruhan meningkat kepada RM9.7 bilion, manakala liabiliti berjaya diturunkan kepada RM3.6 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sejak 2019 hingga 2024, GLC Pahang telah menyalurkan sebanyak RM545 juta kepada Kerajaan Negeri.

 

Beliau berkata, sumbangan berterusan ini memperkukuh kedudukan fiskal negeri, sekali gus membolehkan pelbagai program pembangunan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

 

“Selain mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan, GLC Pahang juga memainkan peranan penting dalam merangsang pelaburan negeri. 

 

“Sehingga 23 September 2025, jumlah pelaburan Negeri Pahang mencecah RM17.434 bilion, sekali gus melepasi sasaran tahun ini iaitu RM14.093 bilion.

 

“Pencapaian tersebut bukan sahaja menjana keuntungan tetapi turut menghasilkan limpahan ekonomi lebih luas kepada negeri. 

 

“Antara kesannya ialah mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai sektor,” katanya.

 

t
Kawasan Perindustrian Gebeng

 

Tambah Wan Rosdy, prestasi cemerlang itu adalah terjemahan sebenar Aspirasi Pahang 1st yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan utama.

 

Beliau berkata, keberkesanan pengurusan GLC Pahang terbukti apabila syarikat-syarikat ini bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga menyumbang secara konsisten kepada hasil negeri walaupun berdepan cabaran ekonomi global.

 

Menurut beliau lagi, GLC Pahang menjadi antara pemacu utama pembangunan negeri melalui pelaksanaan projek strategik, termasuk dalam bidang infrastruktur, perladangan, hartanah dan tenaga.

 

Katanya, pencapaian ini juga selari dengan matlamat kerajaan negeri untuk memperkukuh ekonomi Pahang secara inklusif dengan memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat di bandar mahupun luar bandar.

 

“Selain itu, GLC Pahang berperanan penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur luar terhadap potensi negeri ini. 

 

“Kejayaan merekodkan aliran masuk pelaburan melepasi sasaran membuktikan daya tarikan Pahang sebagai destinasi pelaburan utama,” katanya. - DagangNews.com