Geran RM3 juta UMT perhebat usaha penyelidikan dan inovasi negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Geran RM3 juta UMT perhebat usaha penyelidikan dan inovasi negara

UMT terus unggul dalam penyelidikan kelautan dan sumber marin negara / Gambar UMT
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Julai – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuhkan peranannya sebagai peneraju dalam penyelidikan kelautan dan sumber akuatik menerusi pelbagai inisiatif strategik yang mendukung aspirasi negara dalam pembangunan berteraskan ilmu dan inovasi.

 

Naib Canselor UMT, Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, antara inisiatif utama yang memberi impak besar ialah pemberian Dana Khas di bawah Teras Penyelidikan dan Inovasi berjumlah antara RM1.5 juta hingga RM3.0 juta bagi membantu para penyelidik menjalankan kajian secara berterusan serta memperluaskan hasil penyelidikan kepada bentuk inovasi dan pengkomersialan.

 

Katanya, dana tersebut disalurkan melalui pelbagai skim geran dalaman seperti Strategic Research Grant, TAPE-RG, IPRG, Matching Grant 1+3 dan ICE Incubator, sekali gus memacu budaya penyelidikan lestari yang menjurus ke arah pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

 

"Kejayaan UMT meraih pengiktirafan antarabangsa seperti disenaraikan dalam kelompok 801–850 universiti terbaik dunia (QS World University Rankings 2026) dan kedudukan ke-251–300 dalam THE Young University Rankings 2024, merupakan hasil daripada ekosistem penyelidikan yang kukuh dan strategik.

 

“Lebih membanggakan, UMT turut tersenarai dalam kelompok 100 terbaik dunia dan 20 terbaik Asia dalam bidang Marine and Freshwater Biology oleh U.S. News & World Report membuktikan keunggulan kita dalam bidang yang menjadi kekuatan teras universiti,” katanya.

 

test
Naib Canselor UMT, Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim

 

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Apresiasi Penyelidikan dan Inovasi (MAPI) 2025 di Kuala Nerus, Terengganu semalam.

 

Majlis MAPI 2025 turut menyaksikan penganugerahan 786 anugerah kepada 406 penyelidik cemerlang UMT dalam empat kategori utama iaitu Geran Penyelidikan, Penerbitan, Inovasi dan Anugerah Terbaik.

 

 

test

Tambahnya, UMT sangat komited terhadap agenda nasional yang selari dengan tujuh fokus utama dan 10 Agenda Transformasi Pendidikan Tinggi yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).


"Universiti berada pada landasan yang tepat dalam usaha menjadi institusi peneraju dalam penyelidikan berkualiti dan inovasi berimpak tinggi sekali gus menyumbang secara langsung ke arah pembangunan negara yang berteraskan pengetahuan dan teknologi.

 

“Peranan universiti dalam pembangunan negara bukan sekadar penghasilan ilmu, tetapi juga sebagai pemangkin inovasi, rakan strategik industri, dan penyumbang kepada kesejahteraan rakyat,” katanya. - DagangNews.com