Geran Digital PMKS MADANI Fest 2025 labuhkan tirai di Sabah, kukuhkan agenda digital kesihatan negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Geran Digital PMKS MADANI Fest 2025 labuhkan tirai di Sabah, kukuhkan agenda digital kesihatan negara

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Ogos --Penganjuran Geran Digital PMKS MADANI Fest 2025 menutup tirainya hari ini di Sabah sebagai destinasi ketiga dan yang terakhir dalam siri program tersebut.

 

Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran berkata, penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), khususnya dalam sektor kesihatan di seluruh negara termasuk di Sabah, tidak ketinggalan daripada arus kemajuan teknologi. 

 

"Selain itu, program ini juga bermatlamat untuk memperkasakan penerapan penyelesaian teknologi masa hadapan dalam kalangan PMKS Sabah, khususnya dalam sektor kesihatan untuk membentuk ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap dan inklusif bagi mempersiapkan mereka dalam menghadapi cabaran mendatang. 

 

"Pemilihan Sabah sebagai salah satu lokasi GDPM Fest 2025 didorong oleh potensi dan daya saing komuniti tempatan yang unik serta kedudukannya sebagai negeri pemangkin kesihatan masa hadapan," katanya ketika merasmikan program tersebut di Kota Kinabalu, hari ini.

 

Program itu turut dihadiri oleh pegawai kanan MCMC dan rakan-rakan strategik seperti Kementerian Kewangan Malaysia, Bank Simpanan Nasional, Persatuan Perubatan Malaysia, Persatuan Farmasi Malaysia, penyedia perkhidmatan serta rakan-rakan penyedia teknologi kesihatan masa hadapan.

 

T

 

T

 

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman di Tawau mengenai penghantaran ubat menggunakan dron melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta kolaborasi strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Kerjasama itu bertujuan mempertingkatkan penggunaan teknologi baharu dalam sektor kesihatan, sekali gus menyokong agenda pendigitalan dalam kektor penjagaan kesihatan negara.

 

Tambahnya, melalui GDPM Fest, inisiatif itu dibawa terus ke akar umbi dengan pendekatan lebih tertumpu kepada komuniti perubatan dan usahawan kesihatan tempatan. 

 

"Program ini turut menekankan kepentingan garis panduan Guideline on Online Healthcare Services (OHS) yang dibangunkan oleh KKM dan MCMC, bagi memastikan penggunaan platform kesihatan digital lebih selamat, bertanggungjawab dan beretika.

 

"MCMC yakin kerjasama bersama pelbagai rakan strategik akan memperkukuh ekosistem kesihatan negara, selain mengubah pengalaman penjagaan kesihatan rakyat Sabah secara menyeluruh," katanya.- DagangNews.com