Geohan Corp raih dua kontrak LRT Pulau Pinang bernilai RM59 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Geohan Corp raih dua kontrak LRT Pulau Pinang bernilai RM59 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Dis – Geohan Corporation Bhd yang baru tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, mengumumkan penerimaan dua Surat Anugerah (LoA) daripada SRS LRT Sdn Bhd bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang Laluan Mutiara, dengan nilai kontrak keseluruhan RM59 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Geohan berkata, kontrak tersebut melibatkan dua sub pakej masing-masing bernilai RM31.2 juta dan RM27.8 juta.

 

“Kedua-dua sub pakej itu merangkumi kerja pembinaan cerucuk tambun (bored piling) serta kerja berkaitan di sepanjang jajaran LRT dari Gelugor hingga kawasan sekitar Pesta Conference & Exhibition Centre serta SPICE Convention & Exhibition Centre yang merupakan komponen penting di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Kerja-kerja bagi sub pakej BP01 dijangka siap pada 31 Mac 2027, manakala BP02 disasarkan siap pada 30 April 2027.

 

Projek ini dijangka mengukuhkan pendapatan syarikat dan menyokong pertumbuhan keuntungan Geohan untuk tempoh dua tahun akan datang.

 

Pengarah Urusan Geohan, Lee Kim Seng berkata, syarikat amat berbesar hati menerima dua kontrak utama tersebut yang diumumkan sempena pencapaian penting syarikat selepas penyenaraian di Pasaran Utama hari ini.

 

“Pasukan kami bersedia memainkan peranan sebagai rakan penyedia cerucuk yang dipercayai untuk projek infrastruktur berskala besar dan kompleks.

 

“Kami yakin dapat melaksanakan projek ini dengan cemerlang dan memberikan hasil terbaik kepada pelanggan,” katanya. - DagangNews.com