KUALA LUMPUR 4 Ogos - Geo Alam Environmental Sdn. Bhd, anak syarikat YTL Cement, memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama dua syarikat dari China iaitu Sinoma International Environment Engineering Co. Ltd (SIEE) dan CBMI Construction Co. Ltd (CBMI) untuk pengurusan sisa yang lebih efisien di Malaysia.
Antara inisiatif utama yang dirancang termasuk memproses sisa terpilih seperti sisa industri, sisa pepejal bandar dan bahan berbahaya untuk dijadikan bahan api alternatif atau bahan mentah gantian kepada industri, terutamanya simen yang secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan dan pelepasan karbon.
Pengarah Operasi Geo Alam, Clarisse Loh berkata, pertumbuhan tapak pelupusan negara memerlukan pendekatan segera dan bersifat menyeluruh bagi mencapai penyelesaian komprehensif, sesuai dengan keperluan industri serta pihak berkuasa tempatan.
“Kami komited mendukung agenda ekonomi kitaran negara dan memacu pengurusan sisa secara moden serta praktikal dengan menggabungkan kefahaman tempatan dan kepakaran global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerjasama itu menggabungkan kepakaran ketiga-tiga syarikat dengan Geo Alam menyediakan kawal selia tempatan, manakala SIEE dan CBMI menawarkan pengalaman lebih 60 tahun dalam teknologi alam sekitar dan industri simen.
Dua syarikat dari China itu juga mempunyai rekod cemerlang dalam pengurusan sisa global merangkumi lebih 10 juta tan sisa pepejal di bandar, sisa industri dan komersial serta bahan berbahaya yang lain.
Sementara itu, Naib Presiden SIEE, Zhao Danhui pula menyifatkan kerjasama itu sebagai satu peluang untuk menyumbang teknologi rawatan sisa terkini kepada Malaysia, selaras dasar kelestarian negara.
Pengarah Urusan CBMI untuk operasi Malaysia, Ma Jingwei pula berkata,syarikat itu yang memiliki rekod lebih 150 projek global dalam sektor simen, bersedia memperkenalkan pendekatan ‘waste to fuel’ dan ‘waste to material’ bagi menyokong sasaran nyahkarbon jangka panjang Malaysia. - DagangNews.com








