KUALA LUMPUR 6 Mei – Gamuda Land memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan empat rakan strategik bagi memperkasa tarikan pelancongan dan rekreasi di Gamuda Cove, Selangor.
Empat syarikat tersebut ialah Enfiniti Escapes (M) Sdn Bhd, One Universal Production Sdn Bhd (OUP), Wonderful Wildlife & Recreation Management Sdn Bhd (WWRM), dan Seven Evernew PLT, yang akan membangunkan tarikan baharu merangkumi pengalaman hidupan liar, dua eko-resort mewah, dan taman permainan kanak-kanak.
Tarikan tersebut akan ditempatkan di beberapa lokasi utama dalam kawasan itu termasuk Paya Indah Discovery Wetlands seluas 1,111 hektar, Wetlands Arboretum seluas 90 hektar serta The Hive di Gamuda Cove.
Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Wai Lune berkata, penambahan itu bukan sekadar pelengkap kepada tawaran sedia ada, sebaliknya menjadi sebahagian daripada strategi besar syarikat dalam membina komuniti lestari yang berteraskan alam semula jadi.
"Tarikan ini akan melengkapi kemudahan seperti SplashMania dan Discovery Park, sekali gus menjadikan Gamuda Cove sebagai destinasi gaya hidup dan rekreasi bersepadu untuk semua lapisan pengunjung," katanya dalam satu kenyataan.
WWRM akan membangunkan sebuah zoo yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan, pendidikan, dan kebajikan haiwan yang melibatkan hampir 90 spesies mamalia, burung, dan reptilia.
Enfiniti Escapes akan memperkenalkan Tiarasa Lakeside, sebuah eko-resort mewah dengan konsep glamping yang berjaya di Janda Baik, manakala OUP pula akan menaik taraf chalet sedia ada kepada vila kolam mewah di bawah jenama Hadi Premium Collection.
Manakala, Seven Evernew akan membuka TiniTin Town, taman permainan dalam bangunan seluas 9,000 kaki persegi untuk kanak-kanak bawah 10 tahun, yang akan dibangunkan di The Hive.- DagangNews.com








