Gamuda, IJM, MRCB, SunCon dijangka bida projek terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang Mei ini - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda, IJM, MRCB, SunCon dijangka bida projek terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang Mei ini - CIMB Securities

Gambar/klia2.info
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 April - Tawaran tender bagi pembinaan bangunan terminal utama baharu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di bawah Pakej 3 akan dibuka pada Mei tahun ini, lebih awal daripada jadual siap projek yang disasarkan pada 2027.

 

CIMB Securities berkata, antara syarikat yang dijangka merebut tender tersebut adalah Gamuda Bhd, IJM Corp Bhd, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dan Sunway Construction Group Bhd.

 

Jelasnya, kontrak untuk Pakej 3 dianggarkan bernilai hampir RM1.2 bilion, menjadikannya pakej terbesar setakat ini dalam projek naik taraf lapangan terbang berkenaan.

 

Tender berkenaan melibatkan kerja-kerja pembinaan terminal baharu, pengubahsuaian bangunan terminal sedia ada serta kemudahan tempatan, perkhidmatan bangunan dan penambahbaikan reka bentuk dalaman.

 

Menurut CIMB Securities, Gamuda mempunyai rekod kukuh dalam kerja-kerja kemudahan lapangan terbang, termasuk kejayaan memperoleh kontrak RM1.9 bilion bagi pembinaan sebahagian besar Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha.

 

"Gamuda juga dikatakan mempunyai kelebihan dari segi logistik kerana kini sedang menjalankan kerja-kerja penambakan bagi projek Silicon Island yang terletak di bahagian selatan PIA," katanya dalam satu nota kajian.

 

CIMB berkata, di peringkat rantaian bekalan, Ann Joo Resources Bhd turut berpotensi mendapat manfaat, memandangkan kemudahan pembuatan keluli utama syarikat itu yang terletak di Seberang Perai boleh menjadikannya pembekal utama keluli untuk projek itu.

 

Kerja-kerja pembinaan di bawah dua pakej awal projek naik taraf PIA kini sedang berjalan lancar, dengan pengembangan tersebut dilihat penting untuk mengukuhkan peranan PIA sebagai hab penerbangan serantau yang strategik. - DagangNews.com