KUALA LUMPUR 7 Jan – Pemain utama sektor pembinaan negara seperti Gamuda Bhd dan IJM Corp Bhd dijangka terus menikmati peluang pertumbuhan tahun ini apabila aliran projek utama industri kekal setara dengan tempoh 2024 hingga 2025, sekali gus menyokong pengembangan buku pesanan secara berterusan.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) dalam satu nota penyelidikan berkata, pusat data berskala besar atau hyperscale data centres kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama sektor ini, dengan pembangunan kampus yang lebih besar berpotensi bermula seawal 2026.
Menurut HLIB, pembangunan projek pusat data secara berfasa dijangka memastikan aliran penganugerahan kerja yang berterusan serta profil pengisian semula buku pesanan yang lebih stabil dari tahun ke tahun.
“Kami mendapati kadar tender kekal rancak,” katanya.
Selain itu, segmen air turut dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan buku pesanan sektor pembinaan, dengan beberapa projek berskala besar berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
Antara projek utama termasuk Skim Bekalan Air Utara Perak, Skim Ulu Padas, Projek Rasau Fasa 2 serta Projek Langat 2 Fasa 2.
HLIB turut menekankan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang terus menjana aliran kerja baharu melalui penganugerahan subkontrak, Segmen 2 serta kerja-kerja sistem.
Nilai gabungan bagi Segmen 2 dan kerja sistem itu dianggarkan mencecah sekitar RM8 bilion.
Melangkah ke hadapan, HLIB menjangkakan tahun 2026 akan menyaksikan pembangunan berterusan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), yang disokong oleh peruntukan dana pembangunan infrastruktur berjumlah RM3.4 bilion di bawah Bajet 2026.
HLIB turut menjangkakan kemajuan bagi cadangan sistem Johor Bahru E-ART.
Firma penyelidikan itu mengekalkan pendirian “overweight” terhadap sektor pembinaan bagi 2026, disokong oleh fasa pengembangan buku pesanan yang masih berterusan.
“Kami juga menjangkakan tekanan kos berkaitan logistik yang berlaku sebelum ini akan beransur-ansur kembali normal tahun ini apabila tindakan penguatkuasaan berakhir dan kapasiti menyesuaikan diri. Penilaian pada paras semasa masih menawarkan ruang kenaikan, pada pandangan kami,” katanya.
Sebagai pilihan utama sektor, HLIB menamakan Gamuda (Beli; harga sasaran: RM6.88) dan IJM (Beli; harga sasaran: RM3.40). - DagangNews.com








