Gamuda dijangka perluas peranan dalam projek empangan Ulu Padas, kata CIMB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda dijangka perluas peranan dalam projek empangan Ulu Padas, kata CIMB Research

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 24 April - Gamuda Bhd dijangka memainkan peranan lebih besar dalam Projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Sabah apabila negeri itu mempercepat usaha menjamin bekalan air dan tenaga jangka panjang.

 

Menurut CIMB Research, Gamuda berpotensi memperoleh lebih banyak kontrak pembinaan berkaitan projek empangan tersebut dalam masa terdekat.

 

Selain menjana tenaga boleh diperbaharui, empangan itu juga menjadi tunjang kepada Skim Bekalan Air Ulu Padas, sebuah projek kemudahan berskala besar yang boleh menyelesaikan masalah bekalan air yang berlarutan di Sabah.

 

Empangan berkenaan direka sebagai kemudahan dua dalam satu, bukan sahaja menjana tenaga, tetapi menyokong sistem bekalan air yang mampu menyalurkan sehingga 6,000 juta liter sehari, cukup untuk memenuhi keperluan negeri itu sehingga 100 tahun.

 

Fasa 1 skim itu disenaraikan sebagai satu daripada 13 projek nasional berimpak tinggi yang sedang berjalan atau telah siap.

 

Skim tersebut merangkumi pembinaan loji rawatan air berkapasiti 350 juta liter sehari (mld) di Beaufort dan pemasangan paip sepanjang 187 kilometer yang akan menghubungkan kawasan utama seperti Kota Kinabalu, Kimanis, Kuala Penyu dan Sipitang.

 

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan projek, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dijangka merasmikan pembinaan tangki simpanan air terawat berkapasiti 300 mld di Kinarut bulan ini.

 

CIMB Research juga memaklumkan, semasa pembentangan keputusan kewangan terbaharu, Gamuda menyatakan pihaknya menjangka memperoleh kerja-kerja infrastruktur berkaitan air bernilai RM4 bilion yang berkaitan dengan projek empangan itu.

 

"Projek ini adalah antara bidaan utama yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM35 bilion dan disasarkan dalam dua hingga tiga suku tahun akan datang.

 

"Ini menunjukkan potensi kenaikan kepada sasaran buku pesanan Gamuda yang kini antara RM40 bilion hingga RM45 bilion menjelang akhir 2025," jelas CIMB Research dalam satu nota kajian.

 

Sebelum ini, Gamuda bersama Conlay Construction dalam usaha sama 75:25 telah dianugerahkan kontrak bernilai RM3 bilion bagi pembinaan empangan hidroelektrik berkapasiti 188MW yang dijangka siap pada akhir 2030.

 

Empangan itu dijangka menjana purata 1,052 GWh tenaga bersih setiap tahun dan menyokong hasrat Sabah untuk meningkatkan sumbangan tenaga boleh diperbaharui kepada 35% dalam campuran tenaga negeri.

 

Projek berkenaan diterajui oleh Upper Padas Power Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh UPP Holdings, di mana Gamuda memiliki 45% pegangan.

 

CIMB Research juga menyatakan, pendapatan berulang daripada pegangan Gamuda dalam projek tersebut masih belum dimasukkan ke dalam unjuran kewangan syarikat, sementara menunggu maklumat lanjut mengenai kadar tarif.

 

Dengan prospek projek yang kukuh dan kedudukan kewangan yang stabil, CIMB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Gamuda dengan sasaran harga RM5.50 sesaham.

 

Ia menyifatkan, penilaian harga saham Gamuda sebagai menarik, dengan nisbah harga/pendapatan antara 13.7 hingga 16.7 kali bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 hingga 2027, dividen sekitar 3.4% hingga 4.2%, serta nisbah hutang bersih yang terkawal pada 39%. - DagangNews.com