Gamuda berpotensi lepasi sasaran penambahan projek sehingga RM47 bilion tahun ini - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda berpotensi lepasi sasaran penambahan projek sehingga RM47 bilion tahun ini - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Julai - Gamuda Berhad berpotensi melepasi sasaran penambahan projek baharu sehingga RM47 bilion susulan kejayaan perjanjian bekalan air di Perak yang menawarkan potensi pendapatan berulang, kata penganalisis.

 

CGS International berkata, berdasarkan kepada projek itu, jumlah kontrak yang dimenangi kumpulan itu setakat tahun ini akan meningkat kepada RM23.4 bilion. 

 

Katanya, ia boleh meningkatkan jumlah buku tempahan syarikat kepada anggaran RM47 bilion menjelang akhir tahun, melebihi sasaran julat RM40 bilion hingga RM45 bilion pada akhir 2025.

 

“Gamuda akan memperoleh dua manfaat daripada projek ini, iaitu potensi pendapatan berulang dan potensi buku tempahan sebanyak RM5 bilion sebaik sahaja kerja-kerja pembinaan dianugerahkan,” kata firma penyelidikan itu, yang mengekalkan saranan “beli” terhadap saham tersebut dengan harga sasaran RM6.

 

Terdahulu, Kerajaan Perak melantik syarikat usaha sama antara syarikat pembinaan itu dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) untuk membangunkan dan mengendalikan infrastruktur rawatan dan pengagihan air dengan jumlah nilai pembangunan dianggarkan sebanyak RM5 bilion.

 

Gamuda menganggarkan margin bagi projek itu pada kira-kira 10% hingga 12%, sejajar dengan margin bagi projek infrastruktur lain di Malaysia. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Gamuda, PKNPk bentuk usaha sama bangunkan infrastruktur air di Perak Utara bernilai RM5 bilion

 

CGS International menjangkakan, ia akan menyokong pemulihan margin yang lebih bermakna bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Julai 2026 (FY26).

 

Firma penyelidikan itu berkata, penganugerahan itu adalah sebagai isyarat kerajaan mungkin berhasrat mempercepatkan pelaksanaan projek. 

 

Acara penting yang perlu diperhatikan termasuk pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 pada akhir Julai 2025 dan belanjawan negara pada Oktober ini.

 

Melihat ke hadapan bagi tahun 2026, firma penyelidikan itu berkata prospek projek Gamuda kekal memberangsangkan. 

 

Katanya, kumpulan itu terlibat dalam tiga projek tenaga boleh diperbaharui (RE) di Australia melalui pendekatan penglibatan kontraktor awal (ECI), yang berpotensi ditukar kepada kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

 

Selain itu, Gamuda telah disenarai pendek untuk beberapa tender, termasuk projek Stesen Bersepadu Parramatta di New South Wales, Australia; projek lebuh raya Northland Corridor di New Zealand — yang berpotensi menjadi pasaran baharu untuk kumpulan itu — dan projek Kereta Api Sunshine Coast di Brisbane, Australia.

 

"Kami melihat perkembangan ini secara positif kerana Gamuda berpotensi meraih dua aliran pendapatan, iaitu hasil pembinaan dan pendapatan berulang apabila projek ini dikomersialkan,” kata Public Investment Bank yang mengekalkan penarafan “beli” terhadap saham tersebut dengan harga sasaran yang tidak berubah sebanyak RM5.60. - DagangNews.com