Gamuda beli tanah RM248.7 juta di Kuala Langat, kukuhkan projek Gamuda Cove - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda beli tanah RM248.7 juta di Kuala Langat, kukuhkan projek Gamuda Cove - penganalisis

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Mei - Gamuda Bhd akan membeli tanah seluas 135.97 hektar di Kuala Langat, Selangor dengan nilai RM248.7 juta sebagai langkah lanjutan strategik kepada projek perbandaran sedia ada syarikat, Gamuda Cove, yang masih mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) berbaki sebanyak RM18.7 bilion.

 

Menurut laporan RHB Research, harga belian RM17 sekaki persegi dianggap berpatutan kerana hanya mewakili 11.3% daripada GDV, jauh lebih rendah daripada penanda aras biasa iaitu 20%.

 

"Pembelian ini akan meningkatkan jumlah pegangan tanah Gamuda sebanyak 16% kepada kira-kira 1,002.00 hektar. 

 

"Kami positif terhadap perjanjian ini kerana ia mengukuhkan kehadiran Gamuda di bahagian selatan Lembah Klang," kata RHB Research dalam satu nota kajian.

 

Gamuda merancang untuk membiayai pembelian itu menggunakan dana dalaman syarikat. 

 

Ini dijangka hanya akan meningkatkan nisbah hutang bersih kepada 40.5% daripada 39% pada akhir Januari lalu.

 

Walaupun pembelian tanah dijangka selesai pada pertengahan 2026, projek di tanah tersebut mungkin hanya akan dimulakan sekitar tahun 2028, apabila Gamuda Cove sudah lebih berkembang.

 

Oleh itu, tiada perubahan dibuat terhadap unjuran keuntungan syarikat ketika ini.

 

RHB Research mengekalkan penilaian 'beli' terhadap saham Gamuda dengan sasaran harga RM5.83.

 

Sementara itu, TA Research juga menyatakan harga pembelian tanah adalah wajar dan berada di bawah penanda aras 20% berbanding GDV.

 

Menurut laporan TA Research, pembelian tanah berkenaan dijangka memberi lebih nilai kepada Gamuda Cove dengan memanfaatkan pertumbuhan penduduk di kawasan sekitarnya. 

 

"Ia juga boleh menarik lebih ramai pengunjung ke tempat-tempat seperti Splashmania, Townsquare, Discovery Park dan hotel baharu Asai Gamuda Cove, iaitu hotel Asai pertama di Malaysia," ujarnya.

 

Selepas pembelian itu, baki tanah belum dibangunkan di Gamuda Cove dijangka meningkat kepada 342.364 hektar dengan jumlah GDV belum dibangunkan sebanyak RM20.9 bilion.

 

TA Research menambah, Gamuda mempunyai kedudukan kewangan kukuh, dengan nisbah hutang bersih 0.42 kali dan tunai RM3.5 bilion pada akhir Januari 2025.

 

Firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Gamuda dengan sasaran harga RM5.88.

 

Maybank Investment Bank Research turut mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM4.99. 

 

Menurutnya, Gamuda pernah membeli tanah di kawasan sama pada tahun 2014 pada harga RM12 sekaki persegi, berbanding RM17 sekarang.

 

Gamuda Cove merupakan projek perbandaran paling berjaya bagi syarikat pembinaan dan hartanah itu, menyumbang 31% kepada jualan hartanah tempatan tahun lalu dan 16% kepada keseluruhan jualan hartanah.

 

Maybank IB menjangka fasa baharu ini akan memberikan margin keuntungan lebih tinggi kerana infrastruktur utama telah siap. 

 

Dengan jangkaan keuntungan sebelum cukai 15%, fasa tersebut dijangka menambah RM250 juta atau empat sen sesaham kepada keuntungan bersih syarikat sepanjang tempoh pembangunan.

 

Walaupun pembelian berkenaan akan meningkatkan nisbah hutang bersih kepada 57% menjelang akhir 2026, ia masih di bawah had dalaman syarikat iaitu 70%. 

 

Maybank IB tidak membuat sebarang perubahan terhadap anggaran keuntungan semasa Gamuda. - DagangNews.com