Gagal patuhi standard perkhidmatan, 279 arahan dikeluarkan MCMC kepada syarikat telekomunikasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gagal patuhi standard perkhidmatan, 279 arahan dikeluarkan MCMC kepada syarikat telekomunikasi

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Julai – Sebanyak 279 arahan telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap beberapa penyedia perkhidmatan mudah alih di seluruh negara kerana gagal mematuhi piawaian Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) untuk jalur lebar tanpa wayar.

 

Menurut MCMC, arahan tersebut dikeluarkan hasil pemantauan berterusan terhadap prestasi syarikat telekomunikasi yang didapati tidak memenuhi standard minimum kualiti perkhidmatan, termasuk aspek kelajuan muat turun, kelewatan isyarat rangkaian, kehilangan paket data, serta ketersediaan dan masa capaian laman web serta penstriman video.

 

“Daripada jumlah itu, YTL Communications adalah penerima tertinggi dengan 154 arahan, diikuti oleh CelcomDigi (50), TM Technology Services (38), U Mobile (27) dan Maxis (10).

 

 

 

 

 

 

“Tindakan ini mencerminkan komitmen MCMC dalam memastikan pengguna menerima perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan konsisten, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan.

 

MCMC turut mengingatkan penyedia perkhidmatan yang gagal mengambil langkah pembetulan dalam tempoh ditetapkan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi setiap ketidakpatuhan, seperti diperuntukkan di bawah subseksyen 105(5), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

Setakat ini, sejumlah 984 arahan telah dikeluarkan sejak tahun 2022 iaitu 229 arahan dan 208 pada 2023. Tiada arahan didaftarkan pada 2024 berikutan semakan semula mekanisme pelaksanaan yang hanya diluluskan awal tahun ini.

 

 

 

 

Tambah MCMC, pihaknya akan terus tegas dalam memastikan semua pemain industri bertanggungjawab terhadap mutu perkhidmatan yang ditawarkan kepada rakyat.

 

Orang ramai yang ingin membuat aduan berkaitan mutu perkhidmatan telekomunikasi boleh menghubungi talian bebas tol MCMC di 1-800-88-2727 atau emel ke [email protected]- DagangNews.com