KUALA LUMPUR 13 Mei - Yong Tai Bhd berhad diarah membayar sebanyak RM75.46 juta kepada Kerjaya Prospek Group Bhd selepas gagal melunaskan bayaran kontrak bagi projek pembangunan bercampur di Melaka yang dikenali sebagai The Apple.
Keputusan itu dibuat oleh adjudikator yang merupakan pihak berkecuali, membantu menyelesaikan pertikaian melibatkan kes pembinaan dan kontrak dengan pantas.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, adjudikator mengarahkan anak syarikat milik penuh Yong Tai, Apple 99 Development Sdn Bhd, membayar jumlah tersebut beserta faedah kepada anak syarikat Kerjaya Prospek, iaitu Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd (KPM).
KPM memfailkan prosiding timbang tara terhadap Apple 99 pada November 2024. Anugerah timbang tara sebanyak RM75.46 juta itu mewakili 71.8% daripada jumlah tertunggak yang dituntut oleh KPM.
Pertikaian itu berkisar terhadap dakwaan tunggakan bayaran kontrak sebanyak RM105.14 juta bagi kerja-kerja pembinaan yang dilaksanakan oleh KPM untuk projek The Apple.

Kerja tersebut merupakan sebahagian daripada kontrak bernilai RM213.75 juta yang dianugerahkan kepada KPM pada tahun 2016 untuk kerja-kerja utama bangunan yang merangkumi sebuah hotel 16 tingkat, menara suite perkhidmatan 32 tingkat, dan podium tempat letak kereta lapan tingkat.
Sebelum prosiding timbang tara, KPM telah menyaman Apple 99 sebanyak RM105.14 juta, dengan mendakwa bahawa Apple 99 telah melanggar perjanjian penyelesaian yang dibuat pada Februari 2020.
KPM turut memohon untuk menguatkuasakan kedua-dua perjanjian penyelesaian dan perjanjian jualan hotel.
Sebagai tindak balas, Apple 99 telah memfailkan tuntutan balas dengan mendakwa perjanjian tambahan yang dibuat pada 2023 telah menggantikan perjanjian penyelesaian asal, dan menuntut sebanyak RM76.62 juta atas kerugian akibat kelewatan siap dan kerja pembinaan yang tidak dibaiki.
Kes saman itu masih berjalan, dengan tarikh perbicaraan ditetapkan pada Oktober 2025.
Selain saman KPM terhadap Apple 99, unit Kerjaya Prospek itu juga mempunyai saman berasingan terhadap Yong Tai dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Boo Kuang Loon, untuk menuntut mereka membayar jumlah RM105.14 juta dalam kapasiti mereka sebagai penjamin korporat dan peribadi. - DagangNews.com








