Gagal bayar pinjaman RM112.69 juta, Ho Hup mohon perintah mahkamah susun semula hutang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gagal bayar pinjaman RM112.69 juta, Ho Hup mohon perintah mahkamah susun semula hutang

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 April - Ho Hup Construction Co Bhd memohon perintah mahkamah bagi memudahkan proses penstrukturan semula hutangnya berikutan kegagalan membayar pinjaman minggu lalu.

 

Syarikat pembinaan itu, yang kini diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 akibat kegagalan bayaran tersebut, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi semalam untuk mendapatkan kebenaran berbincang dengan pemiutang bagi menyusun semula hutang.

 

Ho Hup juga memohon perintah larangan sementara supaya tiada tindakan undang-undang diambil terhadap syarikat, bagi memberi masa untuk menyediakan pelan penstrukturan semula hutangnya.

 

Menurut syarikat, selepas permohonan difailkan, perintah larangan sementara secara automatik diberikan kepada syarikat selama dua bulan atau sehingga mahkamah membuat keputusan.

 

Syarikat berkata, butiran lanjut mengenai pelan tersebut akan diumumkan kemudian.

 

"Jika sekurang-kurangnya 75% pemiutang yang hadir dalam mesyuarat mahkamah setuju dengan pelan ini, maka ia akan menjadi sah dan wajib dipatuhi oleh semua pemiutang terlibat.

 

"Bagaimanapun, terma pelan ini mungkin berubah bergantung kepada rundingan antara syarikat dan para pemiutang," jelas Ho Hup dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Ho Hup diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 pada Jumaat lalu selepas anak syarikat milik penuhnya, Bukit Jalil Development Sdn Bhd, gagal membayar pinjaman berjumlah RM112.69 juta.

 

Sebagai penjamin kepada anak syarikat itu, Ho Hup turut menerima notis tuntutan daripada Insas Credit & Leasing Sdn Bhd untuk melunaskan jumlah berkenaan.

 

Dengan status PN17, Ho Hup perlu mengumumkan dalam tempoh tiga bulan sama ada pelan pemulihannya akan mengubah arah perniagaan secara signifikan. 

 

Syarikat kemudian mempunyai tempoh 12 bulan untuk menghantar dan mendapatkan kelulusan terhadap pelan tersebut sama ada daripada Suruhanjaya Sekuriti jika melibatkan perubahan besar, atau Bursa Malaysia jika tidak.

 

Syarikat itu mencatat kerugian selama 13 suku tahun berturut-turut. 

 

Bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2024, kerugian bersih meningkat kepada RM113.8 juta berbanding RM55.3 juta pada tahun sebelumnya, susulan penurunan hasil hampir 60% kepada RM6.35 juta.

 

Sehingga akhir Disember 2024, jumlah pinjaman semasa syarikat ialah RM320.3 juta, manakala pinjaman bukan semasa berjumlah RM76.6 juta. 

 

Aset semasa syarikat bernilai RM801.3 juta, manakala aset bukan semasa berjumlah RM195.4 juta. - DagangNews.com