FPSO Agogo milik Yinson capai pengeluaran minyak pertama pada 29 Julai 2025, empat bulan lebih awal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FPSO Agogo milik Yinson capai pengeluaran minyak pertama pada 29 Julai 2025, empat bulan lebih awal

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Yinson Production mengumumkan, kapal penyimpanan, pengeluaran terapung dan pemunggahan (FPSO) Agogo telah mencapai pengeluaran minyak pertama pada 29 Julai 2025, empat bulan lebih awal daripada jadual asal dan 29 bulan selepas penganugerahan kontrak pajakan.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak pajakan tetap selama 15 tahun untuk FPSO Agogo sudah bermula secara rasmi, berikutan pengeluaran Sijil Kesiapsiagaan Operasi Sementara (PORC).

 

PORC itu menandakan permulaan kontrak pajakan dan operasi tetap selama 15 tahun FPSO tersebut dengan pelanggan Azule Energy, pengeluar minyak dan gas bebas terbesar di Angola, yang merupakan usaha sama 50/50 antara BP dan Eni.

 

Kontrak itu mempunyai tempoh tetap selama 15 tahun, dengan pilihan lanjutan kotrak selama ima tahun dan nilai kontrak itu melebihi AS$5 bilion.

 

Yinson Production telah menandatangani kontrak bagi penyediaan, operasi dan penyelenggaraan FPSO Agogo dengan Azule Energy pada Februari 2023. 

 

Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 120,000 tong minyak sehari dan kapasiti simpanan sebanyak 1,600,000 tong minyak, FPSO Agogo telah ditempatkan di Projek Pembangunan Bersepadu Agogo West Hub yang terletak di West Hub Blok 15/06, luar pesisir Angola.

 

Selepas menyiapkan kerja pembinaan, integrasi, penyempurnaan mekanikal dan pentauliahan, FPSO Agogo telah belayar dari Shanghai, China pada Mac 2025, tiba di Angola pada Mei 2025 dan menyelesaikan penyambungan hook-up pada Jun 2025.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Production, Flemming Guiducci Gronnegaard berkata, kejayaan itu menyerlahkan kecemerlangan kumpulan dalam menyampaikan projek-projek kompleks mengikut jadual — malah lebih awal — dan pada standard tertinggi.

 

Beliau berkata, sebagai aset pertama di Angola, FPSO Agogo turut menandakan pengembangan di Afrika dan akan memberi sumbangan positif kepada pertumbuhan ekonomi Angola. 

 

"Kami amat berterima kasih kepada pelanggan kami, Azule Energy, serta semua rakan kerjasama kami atas kerjasama kukuh dan komitmen sepanjang projek ini," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Azule Energy, Adriano Mongini berkata, pihaknya berbangga dengan kejayaan FPSO Agogo berjaya memulakan pajakan tetap selama 15 tahun. 

 

Beliau berkata, jejak karbon rendah kapal itu menunjukkan komitmen pihaknya terhadap operasi yang cekap dan mampan. 

 

"Pengeluaran PORC adalah satu pencapaian utama, dan kami yakin terhadap kebolehan Yinson dalam mengendalikan dan menyelenggara aset ini dengan cemerlang," katanya. - DagangNews.com