KUALA LUMPUR 4 Dis – Eco Business Park VII (EBP7), hab industri bersepadu generasi baharu EcoWorld dalam Malaysia Vision Valley 2.0 menganjurkan ‘EcoWorld Connects: Business Ascend Forum’ yang menghimpunkan pakar industri dan rakan perniagaan untuk membincangkan peluang ASEAN, transformasi industri serta kebangkitan ekonomi berpandukan kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Development Group Bhd, Liew Tian Xiong berkata, forum itu menyediakan peluang interaksi yang bermakna dan eksklusif kepada pembeli dan bakal pembeli EBP7.
“Forum ini adalah platform untuk menyatukan kepakaran, idea, dan peluang dalam ASEAN yang kini sedang berkembang pesat.
“Ini memerlukan ekosistem yang menyokong inovasi, kerjasama dan pertumbuhan jangka panjang, dan EBP7 dibangunkan dengan visi sebagai hab generasi baharu yang membolehkan perniagaan berinovasi, berkembang dan maju,” katanya pada ucapan perasmian forum tersebut.
Forum itu menampilkan penceramah daripada sektor perdagangan dan industri yang berkongsi pandangan mengenai landskap ekonomi ASEAN, strategi perniagaan berpandukan AI, serta masa depan sektor pembuatan dan logistik di rantau ini.
Forum berakhir dengan sesi rangkaian di mana para pelabur dan tetamu meninjau peluang melalui Galeri Jualan EBP7 yang baru dibuka serta berinteraksi dengan pasukan industri EcoWorld mengenai tawaran pembangunan dan peluang akan datang dalam MVV 2.0.
Beliau berkata, terdapat dua pencapaian penting dalam acara tersebut iaitu majlis menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan pembeli awal, Techbond Group Bhd dan I Jaya Management Sdn Bhd.
“Komitmen daripada Techbond dan I Jaya memberi isyarat keyakinan yang kuat terhadap potensi jangka panjang EBP7.
“Kehadiran mereka membantu mewujudkan asas untuk ekosistem industri lengkap bukan sahaja pengeluar, tetapi juga penginapan pekerja, inkubator perniagaan, dan kawasan perniagaan seluas 30 ekar,” tambah beliau.
Techbond Group akan membangunkan kilang berteknologi tinggi untuk menghasilkan pelekat dan penebat industri, manakala I Jaya Management akan membangunkan penginapan pekerja dengan pensijilan GreenRE bagi menyokong pelbagai industri dalam MVV 2.0.
Acara itu turut menyaksikan majlis menandatangani MoU dengan Tian Tian Chu Hai (China) bagi mewujudkan kerjasama strategik untuk mempromosikan taman industri ini kepada pelabur dan perusahaan China.
Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan minat antarabangsa dan memperkukuh keterhubungan global untuk MVV 2.0.
“Pencapaian ini mencerminkan momentum kukuh yang sedang terbina di sekitar EBP7. Kami teruja dengan keyakinan yang ditunjukkan oleh rakan kongsi dan pembeli, dan kami menantikan pembinaan komuniti perniagaan yang dinamik di sini,” kata Liew. - BERNAMA








