KUALA LUMPUR 24 Dis - Forest City yang baru-baru ini diwartakan sebagai Zon Kewangan Khas (SFZ) berpotensi memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesesakan trafik dan kepadatan penduduk di Johor Bahru.
Impak pembangunan Forest City dijangka menjadi lebih ketara dengan pengoperasian sepenuhnya Sistem Transit Rapid Johor Bahru–Singapura (RTS Link) pada 1 Januari 2027 berkapasiti 10,000 penumpang sejam.
Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Lestari (RISE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Ts Dr Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein berkata, Forest City yang merupakan sebahagian daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) boleh dibangunkan secara strategik sebagai pusat penyuraian bandar.
Beliau berkata, kesesakan trafik dan kepadatan penduduk di Johor Bahru berpotensi dikurangkan sehingga 25% dalam tempoh 10 tahun sekiranya Forest City bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Johor melalui kolaborasi strategik.
“Forest City berpotensi berfungsi sebagai hab penyuraian bandar dengan memindahkan pertumbuhan penduduk dari pusat bandar Johor Bahru ke kawasan pinggir bandar. Kira-kira 80% kemudahan dan infrastruktur yang diperlukan telah tersedia,” katanya.
Menurut beliau, keperluan utama yang masih diperlukan ialah pembangunan hab pengangkutan bersepadu yang menghubungkan lebuh raya, perkhidmatan bas pengantara, laluan pejalan kaki serta mod pengangkutan alternatif seperti teksi air, feri Ro-Ro, selain sistem rel termasuk Elevated Automated Rapid Transit (E-ART) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).
Presiden Institut Logistik dan Pengangkutan Berkanun Malaysia (CILTM), Muhammad Zaly Shah berkata, Forest City perlu lebih agresif mempromosikan pemilikan hartanah kediaman, khususnya dalam kalangan rakyat Malaysia bagi menyokong pembangunannya sebagai pusat bandar baharu.
Beliau berkata, kehadiran pelabur berprofil tinggi serta syarikat berjenama utama mampu mewujudkan permintaan, menjana peluang pekerjaan dan menarik aktiviti ekonomi berterusan, disokong oleh kemudahan awam dan prasarana yang mencukupi.
“Sekiranya berjaya, Forest City berpotensi berkembang sebagai destinasi pelaburan antarabangsa serta kawasan kediaman yang menawarkan keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan,” katanya.
Beliau turut menyatakan dengan perancangan rapi, pembangunan berkonsep futuristik itu mampu muncul sebagai hab ekonomi dan kediaman utama di selatan Malaysia.
Sebelum ini, pada 13 November, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menggesa kerajaan Persekutuan agar segera menangani cabaran pengangkutan yang dijangka berlaku, termasuk pembinaan sistem penyuraian trafik seperti E-ART.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga pernah menyeru supaya projek HSR dihidupkan semula dengan jajaran yang melalui Forest City.
Mengulas lanjut, Muhammad Zaly Shah mencadangkan penambahan sebuah stesen di Pontian bagi menyokong pertumbuhan Forest City sebagai SFZ dalam JS-SEZ selain meningkatkan daya tarikannya kepada pelabur asing serta menggalakkan pergerakan penduduk ke kawasan Forest City dan Iskandar Puteri.
“Melalui kerjasama strategik, Forest City boleh menyediakan lokasi yang sesuai manakala kerajaan membiayai infrastruktur awam utama, sekali gus mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak berkepentingan termasuk penduduk,” katanya. - DagangNews.com







