KUALA LUMPUR 23 April - Usaha tenusu milik Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) di bawah projek AgriValley diunjur mencatat kerugian permulaan untuk tempoh tiga tahun pertama, disebabkan oleh pelaburan besar awal dan skala operasi yang masih kecil.
CIMB Securities bagaimanapun berkata, ia kekal optimis terhadap prospek jangka panjang projek tersebut, memandangkan permintaan pasaran yang kukuh dan sejajar dengan matlamat keselamatan makanan negara.
Katanya, walaupun model perniagaan dan produk akhir AgriValley masih belum dimuktamadkan, susu segar yang dihasilkan akan digunakan untuk pengeluaran produk lain atau dijual terus, sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual kepada pihak luar.
"Fokus utama akan kekal di pasaran tempatan, namun terdapat potensi eksport ke negara jiran seperti Singapura dan Kemboja," jelas firma penyelidikan berkenaan dalam satu nota kajian.
CIMB Securities turut menyatakan, F&N kini sudah pun memasarkan produk susu segar di bawah jenama Magnolia dan Farmhouse, yang dipercayai ketika ini masih bergantung kepada susu import.
Susulan pelaburan dalam AgriValley, ia mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) F&N bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 antara 0.2% hingga 3.2%.
Namun, ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham F&N, dengan harga sasaran baharu RM29.70, berdasarkan nisbah harga terhadap pendapatan sebanyak 20 kali bagi unjuran keuntungan 2026.
AgriValley, yang merupakan ladang tenusu bersepadu bernilai RM3 bilion di Gemas, Negeri Sembilan, secara rasmi memulakan operasinya selepas menerima kumpulan pertama lembu tenusu baka Holstein sebanyak 2,500 ekor dari Chile.
Proses pemerahan susu pertama dijangka bermula seawal September ini.
Menurut anggaran semasa, sebanyak 16 juta liter susu segar setahun boleh dihasilkan dengan purata hasil 30 liter seekor sehari daripada 1,500 ekor lembu.
CIMB Securities turut menekankan kedudukan kukuh F&N dalam industri makanan dan minuman, khususnya di Malaysia dan Thailand, hasil daripada jenama-jenama terkenal yang dimilikinya.
"F&N mempunyai permintaan yang konsisten untuk produk keperluan harian, selain rekod pengurusan yang cemerlang," tambah firma itu. - DagangNews.com








