KUALA LUMPUR 24 Julai - Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) menggesa agar cuti umum yang diumumkan pada 15 September ini digazetkan segera kerana sebarang kelewatan boleh menyebabkan sektor pembuatan mengalami kerugian produktiviti sehingga RM1 bilion.
Rayuan FMM itu dibuat susulan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 15 September 2025 sebagai cuti tambahan sempena sambutan Hari Malaysia yang kemudian diikuti arahan Kementerian Sumber Manunsia supaya majikan mematuhinya.
“Kerajaan mesti segera mengeluarkan pemberitahuan warta rasmi di bawah Akta Hari Kelepasan 1951, bagi mengesahkan sama ada cuti ini jatuh di bawah Seksyen 8 atau Seksyen 9,” katanya dalam satu kenyataan.
Persekutuan itu berkata, perkara berkenaan amat penting bagi memberikan kejelasan dari segi undang-undang dan membolehkan syarikat merancang operasi, penjadualan tenaga kerja, serta memastikan pematuhan terhadap Akta Kerja 1955.
“Sektor pembuatan sangat sensitif terhadap pengisytiharan cuti umum pada saat akhir, memandangkan jadual pengeluaran yang ketat, komitmen eksport dan syif pekerja,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 15 September diisytihar hari kelepasan am tambahan sempena sambutan Hari Malaysia 2025
FMM berkata, komitmen eksport yang dijadualkan dengan ketat serta giliran syif dalam sektor itu menjadikan perubahan mengejut seperti ini amat merugikan.
Anggaran terdahulu menunjukkan setiap cuti umum yang tidak dirancang menyebabkan pengeluar kerugian sehingga RM1 bilion dalam pengeluaran— dengan kilang keluli, kimia dan pemprosesan makanan paling terjejas.
Pengilang kecil pula berdepan cabaran besar dalam menguruskan kerja lebih masa dan penggantian syif, manakala kesan rantaian bekalan meningkatkan lagi impak ekonomi secara keseluruhan.
FMM turut memberi amaran, kekerapan cuti umum tidak dijadualkan boleh menjejaskan daya saing pelaburan negara.
“Pelabur dan pembeli global memerlukan persekitaran yang stabil dan boleh dijangka.
"Perubahan mengejut yang mengganggu pengeluaran dan komitmen rantaian bekalan boleh menjejaskan daya saing Malaysia, terutama ketika negara sedang giat menarik peluang dalam rantaian bekalan global dan pelaburan bernilai tinggi," katanya.
Sambil menyokong sambutan Hari Malaysia, FMM menekankan, kestabilan ekonomi memerlukan dasar yang jelas dan konsisten.
"Kami menggesa kerajaan untuk mempercepatkan proses pewartaan rasmi, bagi memberikan kejelasan undang-undang serta membolehkan perniagaan mengurus risiko operasi dengan lebih berkesan," katanya.
Persekutuan itu turut menyatakan, notis awal adalah sangat penting bagi sektor pembuatan negara, yang menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan eksport.
FMM menasihatkan majikan untuk memantau pewartaan rasmi sebaik sahaja dikeluarkan bagi memastikan pematuhan, dan mempertimbangkan pilihan penggantian cuti di bawah Akta Kerja 1955 sekiranya cuti itu diwartakan di bawah Seksyen 8.
Selain itu, majikan juga digalakkan untuk menyesuaikan jadual pengeluaran lebih awal bagi mengurus inventori atau tarikh akhir, sambil mengekalkan komunikasi yang jelas dengan pihak berkepentingan mengenai sebarang perubahan operasi. - DagangNews.com







