Flexidynamic rancang bina loji RM58.7 juta teroka pensterilan sinaran gamma | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Flexidynamic rancang bina loji RM58.7 juta teroka pensterilan sinaran gamma

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Julai - Flexidynamic Holdings Bhd, syarikat penyedia sistem klorinasi sarung tangan akan mempelbagaikan perniagaannya ke dalam sektor pensterilan sinaram gamma menerusi pengambilalihan 51% pegangan dalam Gammatech Sdn Bhd bernilai RM16.08 juta.

 

Gammatech bakal menawarkan perkhidmatan pensterilan menggunakan sinaran gamma kepada sektor perubatan, farmaseutikal, makanan dan pertanian.

 

Untuk membiayai urusniaga itu, Flexidynamic akan menerbitkan saham baharu sehingga 30% daripada modal saham terbitan semasa, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham. 

 

“Saham dalam Gammatech akan diterbitkan pada harga RM1 seunit bersandarkan harga langganan sebelum ini pada Julai 2024. 

 

“Rakan strategik Flexidynamic, Eco Santec Sdn Bhd, akan memegang baki 49%,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Flexidynamic dan Eco Santec turut merancang untuk membina loji pensterilan di atas tanah perindustrian seluas 1.63 hektar di Teluk Panglima Garang, Selangor.

 

Tanah berharga RM15.45 juta itu akan dibeli Gammatech daripada H&A Ventures Sdn Bhd menerusi terbitan saham baharu.

 

Flexidynamic melantik Eco Asia Capital Advisory bagi menjalankan kajian daya maju projek dan ia menunjukkan kadar pulangan dalaman (IRR) projek sebanyak 12.3%, melebihi kos modal Flexidynamic iaitu 5.3%.

 

Menurut Flexidynamic, semua kelulusan pengawalseliaan telah diterima daripada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) termasuk lesen Kelas A dan kelulusan perancangan tempatan. 

 

Loji itu dijangka mula dibina pada 2025 dan siap sepenuhnya menjelang akhir 2026 dengan kos keseluruhan projek dianggarkan sekitar RM58.73 juta. 

 

Pembiayaan adalah melalui pinjaman bank (RM27.73 juta), pendahuluan pemegang saham (RM14.92 juta) dan hasil daripada pelaksanaan terbitan saham swasta.

 

Selain itu, Flexidynamic turut mencadangkan terbitan waran percuma berasaskan satu waran bagi setiap empat saham sedia ada, namun perinciannya akan diumumkan kemudian.

 

Langkah strategik ini hadir selepas syarikat mencatat penyusutan ketara dalam hasil sejak tiga tahun lalu daripada RM105.78 juta pada tahun kewangan 2021 kepada RM52.7 juta pada FY2024 berikutan cabaran berterusan dalam industri sarung tangan.

 

Flexidynamic ketika ini menyediakan perkhidmatan reka bentuk, pemasangan dan penyelenggaraan sistem klorinasi sarung tangan serta peralatan berkaitan. 

 

Pelaburan ke dalam pensterilan sinaran gamma itu bertujuan meningkatkan sumber pendapatan dan mengurangkan kebergantungan kepada sektor yang terjejas dengan memanfaatkan kepakaran teknikal sedia ada dalam bidang kejuruteraan.

 

Loji tersebut dijangka beroperasi dengan kapasiti awal sehingga 1 juta curies (ukuran kekuatan bahan radioaktif) dan mampu memproses sekitar 109,000 kontena pensterilan dalam tempoh 10 tahun.- DagangNews.com