Five Petroleum Malaysia peruntuk RM891.92 juta peluasan operasi di Uzbekistan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Five Petroleum Malaysia peruntuk RM891.92 juta peluasan operasi di Uzbekistan

KUALA LUMPUR 3 April - Peruncit bahan api, Five Petroleum Malaysia, merancang untuk memperuntukkan kira-kira RM891.92 juta dalam perbelanjaan modal bagi menyokong pengembangan operasinya di Uzbekistan.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. King Lim Chin Fui berkata, langkah tersebut termasuk pemindahan kepakaran dalam pengedaran bahan api gas asli untuk kenderaan (NGV) kepada pengguna runcit di negara Asia Tengah itu serta memodenkan kemudahan tenaganya.

 

"Proses semakan teliti akan diselesaikan tahun ini, dengan tindakan dijangka dilaksanakan untuk memulakan projek-projek terlibat," katanya kepada Bernama.

 

Five Petroleum telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua entiti tenaga utama di Uzbekistan iaitu Afsona Group dan Uzbekneftegaz untuk meningkatkan pengedaran minyak dan memajukan kemudahan tenaga negara tersebut.

 

Acara pemeteraian itu berlangsung semasa Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan, yang diadakan bersempena dengan lawatan rasmi Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev ke Malaysia pada 5 Februari 2025.

 

Chin Fui berkata, pasaran pengisian bahan api di Uzbekistan berbeza jauh berbanding di Malaysia, kerana ia dikuasai oleh NGV.

 

Sehubungan itu, Five Petroleum Malaysia akan memberi tumpuan kepada sokongan terhadap kemudahan logistik minyak dan gas negara tersebut.

 

Chin Fui menambah, syarikatnya telah mengenal pasti 70 stesen minyak di wilayah Namangan yang boleh menjadi rakan kongsi berpotensi, yang membuka peluang untuk menubuhkan jenama Five Petroleum Malaysia di negara tersebut.

 

Pada masa ini, kebanyakan stesen minyak di Uzbekistan menampung pelbagai jenama dan hanya memberi tumpuan kepada pengedaran bahan api.

 

Uzbekistan sering menghadapi krisis tenaga musim sejuk, yang menyebabkan kekurangan bekalan dan gangguan perkhidmatan, sekali gus mengakibatkan kesesakan dan masa menunggu yang panjang di stesen minyak.

 

"Uzbekistan adalah negara yang terkepung oleh daratan. Dari segi logistik, terdapat cabaran besar dan kami sedang berusaha untuk membantu menyelesaikan masalah ini.

 

"Kami juga bekerjasama dengan kerajaan Uzbekistan dalam usaha membantu peralihan tenaga dan teknologi di negara itu," tambahnya.

 

Five Petroleum menerima lesen operasi dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 15 Januari 2020 dan melancarkan stesen minyak pertama mereka pada 7 Mac 2020 di Selangor.

 

Setakat ini, peruncit bahan api itu mengendalikan 105 stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia dan sedang merancang untuk berkembang ke Sabah dan Sarawak.

 

"Kami sedang bekerjasama dengan pasukan pengurusan bekalan untuk mengembangkan kehadiran di dalam negara.

 

"Kami telah pun memperoleh tanah di Sarawak untuk pembangunan stesen minyak. Pembinaan akan bermula tahun ini, dengan operasi dijangka bermula pada 2026," katanya.

 

Beliau berkata, syarikat berhasrat menambah bilangan stesen minyak kepada 300 buah di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang, sebagai sebahagian daripada pengembangan fasa pertama mereka. - DagangNews.com