KUALA LUMPUR 3 April - Syarikat-syarikat semikonduktor Malaysia tidak ketinggalan bersedia dengan sebarang tindakan Amerika Syarikat (AS) walaupun industri itu terselamat apabila dikecualikan daripada tarif terkini yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump.
Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Datuk Wong Siew Hai bagaimanapun memberi amaran, sektor itu sebenarnya masih lagi boleh disasarkan secara berasingan dalam apa-apa tindakan perdagangan susulan daripada kerajaan AS pada masa depan.
Beliau berkata, firma-firma semikonduktor AS yang sudah lama beroperasi di seluruh Malaysia juga tidak akan terlepas sama daripada potensi besar untuk dikenakan tarif timbal balik berkenaan.
"Saya tidak fikir yang sektor semikonduktor tempatan akan dikecualikan langsung cuma buat masa ini tarifnya belum pun diumumkan lagi secara rasmi oleh pihak berkuasa AS," kata Siew Hai.
Trump dalam perintah eksekutifnya mengumumkan tarif sebanyak 24 peratus ke atas barangan diimport dari Malaysia berkuat kuasa 9 April 2025, dalam dasar perdagangan menyeluruh yang melibatkan kesemua rakan dagangannya.
Semikonduktor bagaimanapun adalah antara produk yang terselamat apabila masih lagi dikecualikan daripada pelaksanaan tarif timbal balik tersebut bermula pada minggu depan.
Produk elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia dengan negara ini juga adalah 'rumah' kepada beberapa firma semikonduktor paling penting di dunia.
Antaranya ialah Intel yang berpangkalan di AS dan Infineon Technologies dari Jerman menjadi hos kemudahan besar dengan menggaji beribu-ribu orang jurutera.
Siew Hai menambah, semikonduktor mungkin masih boleh terjejas secara tidak langsung kerana ia adalah komponen tertanam dalam produk E&E seperti komputer dan peralatan perindustrian, yang tertakluk kepada tarif berkenaan.
"Jika produk itu dihantar ke AS, ia tetap akan 'ditahan' juga di bawah tarif peralatan, maka anda sebenarnya tidak boleh melarikan diri," jelas beliau.
Buat masa ini katanya, industri semikonduktor Malaysia akan 'tunggu dan lihat' memandangkan ketidaktentuan serta ketidakpastian dalam pentadbiran Trump sendiri.
Tarif tersebut juga tambah beliau, tidak bersifat muktamad dan Trump telah berkata bahawa kerajaan AS adalah bersikap terbuka kepada sebarang rundingan mengenai isu tarif.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan juga telah mengumumkan bahawa Malaysia akan berunding dengan AS mengenai pelaksanaan tarif berkenaan. - DagangNews.com








