Firefly mulakan penerbangan dari KLIA ke Tawau dengan kapasiti penumpang lebih 98% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Firefly mulakan penerbangan dari KLIA ke Tawau dengan kapasiti penumpang lebih 98%

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Firefly, syarikat penerbangan milik Malaysia Aviation Group (MAG), melakar pencapaian baharu dengan memulakan operasi jet dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 menerusi penerbangan sulung ke Tawau, Sabah hari ini.

 

Penerbangan FY2574 yang berlepas pada pukul 4.15 petang itu dijangka tiba di Tawau pada 7 malam ini.

 

Ia susulan pemindahan operasi jet Firefly daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang bertujuan meningkatkan kecekapan operasi, meningkatkan sambungan penumpang dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan kumpulan seperti kejuruteraan, pengendalian darat dan katering di KLIA.

 

Ketua Pegawai Operasi Firefly, Kapten Hamdan Che Ismail berkata, penerbangan tersebut mencatat kadar penumpang lebih 98 peratus, membuktikan permintaan memberangsangkan bagi laluan baharu itu.susulan pemindahan operasi jet Firefly daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB). 

 

“Pelancaran operasi jet dari KLIA menandakan pencapaian penting dalam meningkatkan kesalinghubungan di seluruh Malaysia dan ASEAN.

 

“Firefly komited menyediakan perjalanan yang lebih mudah diakses, efisien dan bernilai untuk penumpang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Firefly kini menawarkan penerbangan harian pergi balik ke Tawau, selain menambah destinasi baharu dari KLIA termasuk Sibu, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Johor Bahru.

 

Syarikat penerbangan itu juga menyediakan kelebihan tambahan tanpa caj seperti 10 kilogram bagasi daftar masuk, snek dalam penerbangan serta fleksibiliti menukar penerbangan.

 

Perkhidmatan dari KLIA ini melengkapi operasi turboprop Firefly dari Subang, sejajar matlamat MAG untuk memperluas rangkaian udara domestik dan serantau dengan lebih menyeluruh. - DagangNews.com