KUALA LUMPUR 4 April - Pembangunan Finsbury Circus milik IJM Corp Bhd di United Kingdom (UK) mempunyai potensi nilai yang besar untuk kumpulan tersebut kerana ia mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) yang tinggi iaitu sekitar RM2.4 bilion.
Menurut MIDF Research, ia meningkatkan lagi portfolio pelaburan hartanah antarabangsa IJM dengan ketara.
IJM Corp juga mempunyai sasaran jangka sederhana untuk mengembangkan portfolio pelaburan hartanahnya kepada RM2 bilion dalam tempoh lima tahun.
Pelaburan tersebut akan disokong oleh aset luar negara yang dipilih dengan teliti, yang menawarkan lokasi strategik, ciri-ciri kelestarian dan profil penyewa yang kukuh.
Baru-baru ini, firma guaman antarabangsa Simmons & Simmons LLP menandatangani perjanjian sewa selama 20 tahun sebagai penyewa utama di hartanah 25 Finsbury Circus, London milik IJM.
Simmons & Simmons akan menyewa sekitar 62% daripada ruang hartanah berkenaan, dengan pilihan untuk memperluas ruang sewaan sehingga 80%.
"Perjanjian sewa jangka panjang dengan firma guaman global yang terkenal ini menonjolkan keyakinan kukuh pasaran dan daya tarikan penyewa terhadap hartanah ini.
"Ia juga mengukuhkan langkah strategik pengurusan untuk membangunkan aset berkualiti tinggi pelbagai antarabangsa dengan aliran pendapatan berulang yang stabil," jelas MIDF Research dalam satu nota kajian.
MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah iaitu RM3.89 sesaham, berdasarkan jangkaan terhadap prestasi kewangan syarikat pada masa depan.
"IJM Corp terus menunjukkan prospek pertumbuhan yang kukuh, disokong oleh strategi pengembangan antarabangsa yang proaktif, terutamanya di UK dan diperkuat oleh komitmen penyewa berkualiti tinggi seperti perjanjian sewa jangka panjang dengan Simmons & Simmons," tambahnya.
MIDF Research juga mengekalkan anggaran pendapatan sedia ada, kerana unjuran semasa telah mengambil kira sumbangan positif daripada projek terbaharu di UK.
Bagi suku ketiga tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024, IJM Corp mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM113.3 juta, meningkat 12.9% berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh pertumbuhan hasil sebanyak 4.4% kepada RM1.54 bilion.
Namun, secara kumulatif bagi sembilan bulan hingga Disember (9M25), keuntungan menurun sebanyak 6.9% berbanding tahun sebelumnya kepada RM274.4 juta, walaupun hasil meningkat sebanyak 7.2% kepada RM4.46 bilion.
Bagi penurunan keuntungan bersih 9M25, ia disumbang kerugian pertukaran asing (forex) yang tidak direalisasikan sebanyak RM73.4 juta berbanding keuntungan forex sebanyak RM27 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, penganalisis percaya, IJM Corp dijangka mencapai pertumbuhan pendapatan yang kukuh bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2026 (FY26) hingga FY27, disokong oleh saluran kontrak industri yang kukuh.
Dalam laporan terkini, UOB Kay Hian Research menyatakan, kumpulan telah menyerahkan dua tender untuk pusat data berskala besar (DC) dengan empat lagi kontrak DC akan datang.
Firma penyelidikan tersebut berkata, nilai purata kontrak adalah sekitar RM2 bilion, dengan jumlah keseluruhan RM12 bilion bagi enam DC tersebut. - DagangNews.com








