Fibromat sasar kumpul RM17.8 juta menerusi IPO Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fibromat sasar kumpul RM17.8 juta menerusi IPO Pasaran ACE

Oleh NUR 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 11 April – Syarikat rumusan geoteknikal dan kejuruteraan pakar, Fibromat (M) Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM17.8 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi meluaskan kapasiti pengeluaran kilang.

 

Kumpulan itu melancarkan prospektusnya hari ini menjelang penyenaraiannya yang dijadualkan pada 8 Mei 2025.

 

IPO tersebut merangkumi terbitan awam sebanyak 32.3 juta saham baharu, mewakili 13.0% daripada modal saham terbitan, serta penjualan sebanyak 24.8 juta saham sedia ada atau 10.0% daripada modal saham diperluaskan.

 

Berdasarkan harga IPO 55 sen sesaham, penyenaraian itu dijangka memberi Fibromat permodalan pasaran bernilai RM136.6 juta. 

 

Daripada hasil kutipan RM17.8 juta, sebanyak RM7.6 juta (42.6%) akan digunakan bagi pembelian mesin baharu, RM6.7 juta (37.8%) bagi modal kerja dan RM3.5 juta (19.6%) diperuntukkan untuk kos penyenaraian.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Fibromat, Ng Kian Boon berkata, dana itu akan digunakan bagi memperluas penawaran produk dan kapasiti pengeluaran di kilang syarikat di Selangor.

 

Antara perancangan termasuk pembelian dua mesin jahit khas untuk menghasilkan selimut kawalan hakisan berasaskan jut, serta empat unit sistem pengumpul habuk multi-penapis lengkap dengan saluran. Syarikat juga akan menubuhkan pasukan pemasangan Prefabricated Vertical Drain (PVD) serta memperoleh lima unit jengkaut hidraulik.

 

“Sejak penyenaraian kami di Pasaran LEAP pada 2019, Fibromat telah mengalami pertumbuhan pesat. Kini kami bersedia untuk mengambil langkah lebih jauh dengan penyenaraian di Pasaran ACE sebagai sebahagian daripada transformasi korporat kami,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Fibromat kini menawarkan rumusan menyeluruh dalam bidang reka bentuk, pembuatan, dan pemasangan produk geosintetik di kawalan hakisan serta produk berasaskan biojisim.

 

Permohonan saham awam dibuka bermula hari ini dan akan ditutup pada 25 April 2025 jam 5.00 petang.

 

M & A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan.- DagangNews.com