Festival Filem Raintown serlahkan Taiping sebagai destinasi seni, warisan dan budaya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Festival Filem Raintown serlahkan Taiping sebagai destinasi seni, warisan dan budaya

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Sept – Festival Filem Raintown edisi kedua yang berlangsung di Taiping, Perak menjadi platform seni, warisan dan komuniti yang mengangkat legasi Allahyarham Mamat Khalid, menyemarakkan industri filem tempatan serta mempromosikan Taiping sebagai destinasi budaya dan pelancongan.

 

Pengasas Festival Raintown,  Jacky Yeap berkata, lebih 2,000 penonton hadir ke Paragon Cinemas, Taiping Mall sepanjang tiga hari program itu berlangsung baru-baru ini.

 

“Sepanjang penganjuran, empat filem yang menjalani penggambaran di Taiping dipertontonkan kepada pengunjung iaitu Rock, The Gathering, The Game serta The Pirate and the Emperor’s Ship. 

 

“Pemilihan karya dari era berbeza itu memberi peluang kepada penonton untuk menelusuri evolusi bandar Taiping di layar perak.

 

“Ia memberi pengalaman unik kepada penonton untuk mengenali lebih dalam keistimewaan Taiping sebagai lokasi yang kaya dengan banyak nilai sejarah, warisan dan budaya yang sering dirakam penggiat seni,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t

 

Selain tayangan, festival turut menganjurkan program sampingan yang memberi nilai tambah kepada pengunjung termasuk ke beberapa lokasi menarik sekitar Taiping.

 

Festival Filem Raintown itu direalisasikan dengan sokongan Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Who; ADUN Pokok Assam, Ong Seng Guan; program ArtsFAS Yayasan Hasanah di bawah Kementerian Kewangan; Dana Kreatif Perak oleh PORT Ipoh, Unit Pelancongan Mampan Malaysia dan West Coast Expressway Sdn Bhd.

 

Malam penutup pula menampilkan tayangan khas filem ikonik arahan Mamat Khalid berjudul Rock, yang dirakam di Taiping dan sedang meraikan ulang tahunnya ke-20.

 

Selain itu, beliau berkata, lebih 100 pemuzik rock tempatan turut hadir menyemarakkan sambutan yang diserikan dengan penampilan khas salah seorang pelakon utama Rock iaitu Hasnul Rahmat.

 

“Program lain termasuk sesi bual bicara tentang kampung Aulong Lama yang mengupas kisah era 1970-an hingga 1990-an, serta jelajah warisan berjalan kaki dikendalikan oleh pemandu warisan tempatan, Teoh Chee Keong, yang membuka perspektif baharu tentang sejarah Raintown.

 

“Edisi kali ini turut mencatat sejarah dengan pelancaran Pertandingan Filem Pendek Raintown yang pertama. 

 

“Daripada 103 penyertaan, 10 finalis terpilih untuk bersaing merebut lapan anugerah, termasuk Anugerah Rainmaker yang disampaikan oleh WuBen Film Magazine kepada Hadiah Dari Hujan arahan Aei Raa,” katanya.

 

Antara pemenang lain ialah Where The Fish Looked Up (Filem Pendek Terbaik dan Lakon Layar Terbaik), Madeleine (Sebutan Khas), Chili, Garlic and Onion (Pengarah Terbaik), Racun Di Nadi (Sinematografi Terbaik), Hujan di Tengah Hari (Bunyi Terbaik) dan Drip by Drip (Reka Bentuk Bunyi Terbaik). - DagangNews.com