KUALA LUMPUR 24 Sept – FedEx Corporation dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membangunkan pusat logistik dan kargo bersepadu baharu di Pulau Pinang.
Ia akan dibina di Penang International Logistics Aeropark (PILA) yang terletak bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Sebagai sebahagian daripada MoU itu, FedEx akan menjadi salah satu syarikat logistik global pertama yang melabur di PILA dengan pelaburan kira-kira RM46 juta (AS$11 juta).
Dana tersebut akan digunakan untuk pembinaan dan penyediaan pusat logistik dan kargo bersepadu seluas 100,000 kaki persegi dalam kawasan seluas 42 hektar.
Pembinaannya dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2028 dan akan memperluaskan kapasiti FedEx di Pulau Pinang dengan menggabungkan operasi kargo dan penghantaran ekspres di bawah satu bumbung.
Langkah itu dijangka memberi kesan berganda membolehkan pengeluar, PKS dan perniagaan serantau mengakses pasaran global dengan lebih pantas dan boleh dipercayai.
Pengarah Urusan FedEx Malaysia, Tien Long Woon berkata, MoU itu bukan sekadar mengenai infrastruktur, malah ia juga memastikan Malaysia kekal relevan dalam perdagangan antarabangsa.
“Pelaburan ini menunjukkan bagaimana infrastruktur berimpak tinggi dapat merangsang pertumbuhan, menarik industri dan menyokong aspirasi Pulau Pinang untuk terus menjadi negeri pengeksport utama Malaysia.
“Apabila beroperasi di PILA, FedEx akan mengukuhkan daya tahan dan kecekapan rantaian bekalan sambil menyokong visi Pelan Pengangkutan Nasional 2019–2030 dan Pelan Strategik Pulau Pinang 2030,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pertukaran MoU itu disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, semasa misi rasmi delegasi negeri ke Ekspo Osaka 2025, sekaligus mempromosikan keistimwaan negeri itu sebagai pintu masuk utama bagi sektor perdagangan dan logistik Malaysia.
Delegasi itu turut berkunjung ke FedEx Gateway di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, Jepun bagi meninjau amalan terbaik operasi penghantaran ekspres global yang dijadikan panduan untuk pembangunan PILA.
Sementara itu, Ketua Pegawi Eksekutif PDC, Datuk Aziz Bakar berkata, pihaknya menyambut baik keputusan FedEx untuk melabur dan menyewa ruang di PILA.
“Kami yakin kehadiran FedEx akan memperkukuh lagi ekosistem industri dan perdagangan negeri,” katanya.
Pada 2024, Pulau Pinang mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM121.5 bilion, meningkat 4.8% berbanding tahun sebelumnya.
Negeri itu juga mencatat eksport sebanyak RM431 bilion, mewakili 31.4% daripada jumlah eksport Malaysia, mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri pengeksport utama negara.
Lebih 30 tahun, FedEx telah memperkukuh rangkaian logistik Malaysia, membolehkan perniagaan menghubungkan pasaran global dengan lebih efisien dan menyokong peranan negara dalam perdagangan antarabangsa. - DagangNews.com








