FBM KLCI diramal cecah 1,750 mata dipacu Tahun Melawat Malaysia 2026, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FBM KLCI diramal cecah 1,750 mata dipacu Tahun Melawat Malaysia 2026, kata MBSB Research

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 10 Dis – Kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negara pada 2026, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kemasukan pelancong antarabangsa yang lebih tinggi akan meningkatkan faktor muatan penerbangan, kadar penghunian hotel, kunjungan ke pusat beli-belah, selain merancakkan perbelanjaan pengguna dan perbelanjaan budi bicara. 

 

Sektor hospital yang menampung pelancong perubatan turut dijangka menerima limpahan manfaat.

 

Menurut firma penyelidikan itu, sektor pelancongan kekal sebagai pemacu struktur kepada permintaan pengguna, dengan momentumnya dijangka terus meningkat selari dengan usaha bersepadu kerajaan melalui kempen TMM.

 

Malaysia menyasarkan 47 juta pelancong asing pada 2026 yang dijangka menjana RM329 bilion hasil pelancongan. 

 

Bagi menyokong kempen tersebut, kerajaan memperuntukkan RM500 juta bagi tujuan promosi dan insentif termasuk pelepasan cukai kepada pengendali pelancongan.

 

Pelancongan merupakan antara sumber utama pertukaran asing negara, dengan sektor ini menyumbang lebih 15% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), menjadikannya komponen kritikal kepada ekonomi Malaysia.

 

Dari sudut pasaran modal, MBSB Research menjangkakan FBM KLCI mampu mencecah paras 1,750 mata pada 2026, didorong oleh pemulihan ekonomi yang lebih stabil selepas ketidaktentuan pada 2025.

 

“Syarikat menjangkakan pasaran tempatan terus meningkat disokong oleh asas ekonomi yang sihat, prospek pendapatan korporat yang bertambah baik, penilaian ekuiti yang tidak membebankan serta aliran masuk semula dana asing,” menurut MBSB Research.

 

Pendapatan syarikat tersenarai di bawah liputan firma itu diunjurkan berkembang 7.4% pada 2026, disokong oleh pemulihan perdagangan luar dan penambahbaikan merentas sektor.

 

Dari segi strategi pelaburan, MBSB Research berpandangan positif terhadap sektor perbankan, pembinaan, pengguna, penjagaan kesihatan, hartanah, utiliti serta tenaga boleh diperbaharui.

 

Antara saham pilihan utama firma itu ialah Capital A Bhd, Tenaga Nasional Bhd, Leong Hup International Bhd, Gamuda Bhd, Public Bank Bhd dan Sunway REIT.

 

Pulangan keseluruhan bagi saham-saham yang disyorkan diunjurkan antara 11% hingga 71%, dipacu oleh pemangkin tematik seperti pelaksanaan projek infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, perbelanjaan pengguna yang mampan serta peningkatan permintaan bagi tenaga boleh diperbaharui. - DagangNews.com