Farmiera meterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities bagi IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farmiera meterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities bagi IPO di Pasaran ACE

Perjanjian taja jamin antara Farmiera dan Malacca Securities
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Sept – Farmiera Berhad, pengeluar dan pengedar ayam pedaging memeterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Syarikat yang ditubuhkan pada 2013 itu terlibat dalam aktiviti penternakan, pemprosesan dan pengedaran ayam  yang diperakui halal.

 

Farmiera kini mengendalikan 15 ladang  milik sendiri, bekerjasama dengan 44 ladang kontrak di lima negeri serta mengoperasikan dua loji pemprosesan diperakui halal di Ipoh, Perak dan Lukut, Negeri Sembilan.

 

IPO Farmiera melibatkan penerbitan 117 juta saham baharu, mewakili 26% modal saham terbitan diperbesarkan. 

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 22.5 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, 9 juta saham kepada pengurusan kanan utama, pekerja dan individu yang menyumbang kepada Kumpulan; 29.25 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 56.25 juta saham kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Farmiera, Hong How Seng berkata, pemeteraian perjanjian itu adalah satu pencapaian penting dalam perjalanan IPO syarikat.

 

“Kami akan terus membangunkan ladang induk serta pusat penetasan bagi memperkukuh pengeluaran mampan, selain mengekalkan komitmen menghasilkan produk ayam segar dan berkualiti tinggi untuk pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Farmier berkata, Kumpulan sangat komited dalam mengekalkan piawaian tertinggi kualiti dan keselamatan produk. 

 

“Kedua-dua loji pemprosesan kami telah memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta pengiktirafan di bawah skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI),” katanya.

 


Malacca Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan tunggal bagi IPO tersebut. - DagangNews.com