Exsim Hospitality urus kerja-kerja naik taraf Hotel Summit USJ bernilai RM45 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Exsim Hospitality urus kerja-kerja naik taraf Hotel Summit USJ bernilai RM45 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Exsim Hospitality Berhad bersetuju untuk mengurus kerja-kerja naik taraf dan penjenamaan semula Hotel The Summit Subang USJ bernilai RM45 juta.

 

Kumpulan itu juga bersetuju untuk menyewa hotel tersebut daripada AmFIRST Real Estate Investment Trust (REIT) selama tiga tahun selepas kerja-kerja naik taraf disiapkan. 

 

Anak syarikat Exsim Hospitality, Mana Mana Holdings Sdn Bhd, akan mengurus kerja-kerja naik taraf selama 15 bulan dengan bayaran tetap sebanyak RM220,000.

 

Selepas kerja-kerja naik taraf selesai, Mana Mana akan mengendalikan hotel tersebut di bawah perjanjian penyewaan dengan sewa asas bulanan sebanyak RM600,000, ditambah perkongsian hasil jika melebihi tahap tertentu.

 

Hotel dijangka dibuka semula dalam tempoh 15 bulan dari tarikh surat tawaran dan tempoh sewaan bermula 30 hari selepas kerja-kerja selesai. Tempoh sewaan awal adalah selama tiga tahun, dengan pembaharuan automatik sehingga enam tahun lagi kecuali jika Mana Mana memilih untuk menamatkannya dengan notis.

 

AmREIT Managers Sdn Bhd, pengurus REIT tersebut berkata, kerja-kerja naik taraf itu bertujuan meningkatkan pendapatan dan nilai aset hotel. 

 

Kos naik taraf yang dijangka maksimum RM45 juta akan dibiayai melalui pinjaman dan dana dalaman.

 

"Jika keputusan tender melebihi kos naik taraf hotel, tuan tanah (AmFIRST REIT) dan pengendali (Mana Mana) akan mengadakan perbincangan dengan pemenang tender yang dipilih bagi merundingkan semula kos naik taraf hotel," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia. - DagangNews.com