Exsim Hospitality raih lebihan langganan 33.41%, kukuh keyakinan pemegang saham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Exsim Hospitality raih lebihan langganan 33.41%, kukuh keyakinan pemegang saham

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 15 Dis – Exsim Hospitality Berhad (Exsim Hospitality) mencatat pencapaian positif apabila terbitan Hak dengan Waran yang dilaksanakannya berjaya disempurnakan dengan lebihan langganan 33.41%.

 

Dalam kenyataan hari ini, Exsim Hospitality memaklumkan setakat penutupan penerimaan, permohonan lebihan dan bayaran pada jam 5.00 petang, 9 Disember 2025, kumpulan menerima penerimaan sah dan permohonan lebihan berjumlah 1,858,758,920 saham hak dengan waran.

 

Jumlah itu melepasi 1,393,301,116 saham hak dengan waran yang ditawarkan di bawah terbitan hak tersebut sebanyak 465,457,804 saham, mewakili lebihan langganan kira-kira 33.41%.

 

Menurut Exsim Hospitality, penyertaan pemegang saham adalah menyeluruh dengan kadar pengambilan akhir 96.37% bagi kelayakan saham hak asal, selain disokong permohonan lebihan sebanyak 516,046,942 saham hak, menunjukkan sokongan berterusan daripada pemegang saham sedia ada.

 

Exsim Hospitality berkata sambutan menggalakkan itu menjadi isyarat jelas keyakinan pasaran terhadap usaha kumpulan untuk memperkukuh kedudukan modal dan mempercepatkan pengembangan dalam segmen hospitaliti serta pengurusan penginapan.

 

Sejak terbitan hak ini diumumkan pada 28 Februari 2025 dan dikemas kini melalui beberapa pencapaian penting sepanjang tahun, kumpulan menyasarkan untuk menyediakan asas kewangan lebih anjal bagi menyokong fasa pertumbuhan seterusnya.

 

Pengarah Urusan Exsim Hospitality, Tan Hai Liang berkata lebihan langganan tersebut merupakan sokongan kukuh daripada pemegang saham.

 

“Pengambilan tinggi dan lebihan langganan ini mencerminkan keyakinan pemegang saham terhadap hala tuju dan trajektori pertumbuhan jangka panjang Exsim Hospitality. Sokongan ini mengukuhkan asas modal syarikat dan membolehkan pelaksanaan pelan pengembangan secara tersusun, berdisiplin dan tepat pada masanya,” katanya.

 

Menurut beliau, hasil terbitan hak itu akan digunakan bagi memperluas portfolio hospitaliti di bawah model asset-light, termasuk cadangan pengambilalihan aset baharu iaitu Tower E, sebuah hotel bertaraf 5 bintang dengan podium runcit di Empire City, Petaling Jaya.

 

Selain itu, dana turut disalurkan untuk mempertingkat keupayaan digital bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman tetamu, serta memperkukuh modal kerja bagi menyokong inisiatif pertumbuhan semasa dan akan datang.

 

Dengan selesainya terbitan hak tersebut, Exsim Hospitality berkata ia akan meneruskan momentum sedia ada dan aktif meneroka peluang yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan mampan. 

 

Kumpulan turut menyatakan keyakinan terhadap daya tahan sektor pelancongan dan hospitaliti Malaysia, disokong permintaan domestik yang berterusan serta pemulihan berperingkat aliran pelancong antarabangsa. - DagangNews.com