EXIM Bank meterai tiga kerjasama dengan syarikat Türkiye, perkukuh perdagangan dua hala dan peluasan global syarikat Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EXIM Bank meterai tiga kerjasama dengan syarikat Türkiye, perkukuh perdagangan dua hala dan peluasan global syarikat Malaysia

KUALA LUMPUR 9 Jan – Pemeteraian tiga kerjasama strategik antara EXIM Bank Malaysia dan syarikat-syarikat dari Türkiye terus mengukuhkan hubungan perdagangan serta pelaburan dua hala, di samping menyokong peluasan antarabangsa syarikat Malaysia selaras dengan agenda kepelbagaian industri dan perdagangan negara.

 

EXIM Bank dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) tiga pihak bersama Angsana Jaya Sdn Bhd dan Hoytek Bilgisayar Software Architecture Engineering Mesillik Energy and Industry Trade Ltd Company (Hoytek) bagi mempromosikan kerjasama teknologi, pembangunan keupayaan industri dan akses pasaran antara Malaysia dan Türkiye.

 

Menurut bank itu, Angsana Jaya merupakan syarikat pembinaan milik Malaysia yang sedang merancang untuk mengembangkan operasi ke Türkiye menerusi kerjasama dengan Hoytek, sebuah firma kejuruteraan Türkiye yang pakar dalam teknologi subsea termaju dan sistem kenderaan kawalan jauh (ROV).

 

EXIM Bank berkata, Angsana Jaya telah dibimbing di bawah program Malaysia Global Connect, yang menyokong syarikat tempatan meneroka pasaran bukan tradisional melalui pembiayaan bertanggungjawab, fasilitasi berstruktur dan kerjasama teknologi strategik.

 

“Di bawah kerjasama ini, EXIM Bank Malaysia akan menyediakan fasilitasi kewangan berasaskan pengurusan risiko dan selaras dengan dasar, manakala Hoytek menyumbang kepakaran teknikal bagi menyokong peluasan Angsana Jaya ke Türkiye,” katanya.

 

Menurut EXIM Bank, aktiviti di bawah MoU tersebut akan memberi tumpuan kepada inisiatif pembinaan keupayaan termasuk pemindahan pengetahuan, pembangunan kemahiran serta penggunaan teknologi yang lebih cekap dan selamat bagi menyokong hasil industri yang mampan serta menggalakkan pertumbuhan eksport.

 

Dalam perkembangan berasingan, EXIM Bank memaklumkan pelanggannya dan satu-satunya pengeluar keluli tahan karat Malaysia, Bahru Stainless Sdn Bhd, turut bertukar MoU dengan Persatuan Perindustrian dan Usahawan Keluli Tahan Karat (PASID) dari Türkiye bagi menembusi pasaran negara itu serta menyokong agenda kepelbagaian perdagangan Malaysia.

 

Bank itu memainkan peranan penting dalam memudah cara kerjasama berkenaan yang memberi tumpuan kepada akses pasaran berstruktur, padanan perniagaan dengan pengimport dan pengedar Türkiye, serta penggunaan manfaat di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–Türkiye (MTFTA).

 

“MoU ini menyediakan rangka kerja tidak mengikat yang menyasarkan bekalan indikatif sehingga 10,000 metrik tan produk keluli tahan karat dalam tempoh 12 bulan, dengan terma komersial akan ditentukan menerusi perjanjian berasingan,” katanya.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank Malaysia, Datuk Nurbayu Kasim Chang berkata, MoU berkenaan mencerminkan peranan strategik bank sebagai institusi kewangan pembangunan dalam menyokong peluasan antarabangsa syarikat Malaysia secara bertanggungjawab dan berasaskan pengurusan risiko.

 

“Melalui penekanan terhadap pemindahan teknologi dan pembinaan keupayaan, kami membantu pelanggan kami menyertai rantaian bekalan global bernilai tinggi sejajar dengan keutamaan industri Malaysia di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” katanya.

 

Perdagangan Malaysia–Türkiye mencecah RM24.13 bilion (US$5.28 bilion) pada 2024, meningkat 18.7 peratus tahun ke tahun, mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin kukuh. Eksport utama Malaysia ke Türkiye termasuk produk besi dan keluli, minyak sawit, tekstil serta barangan elektrik dan elektronik, manakala import dari Türkiye terdiri daripada produk petroleum, jentera, bahan kimia dan makanan diproses. - BERNAMA