KUALA LUMPUR 16 April - EXIM Bank Malaysia dan Pertama Ferroalloys Sdn Bhd memeterai perjanjian pembiayaan bekalan bernilai kira-kira RM88.2 juta sempena Ekspo 2025 Osaka di Jepun.
Pertama Ferroalloys merupakan pengendali loji peleburan aloi mangan dan ferrosilikon pertama di Malaysia yang terletak di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, Sarawak.
Kedua-dua syarikat menyifatkan perjanjian strategik itu sebagai satu pencapaian penting bagi pelabur asing di Samalaju dan dijangka menyumbang besar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia secara keseluruhan.
Pengerusi Pertama Ferroalloys, Hirotaka Suzuki berkata, pelaburan tersebut akan membantu pihaknya meningkatkan proses pengeluaran, seterusnya menyokong pembangunan kemudahan, merancakkan aliran modal di Sarawak dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, khususnya di Sarawak.
"Langkah ini sejajar dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak (PCDS) 2030," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di Pavilion Malaysia, melibatkan Suzuki dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Nurbayu Kasim Chang.
Ia disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Datuk Hairil Yahri Yaacob serta Pengarah dan Pengurus Besar Pertama Ferroalloys, Yuki Nakamura.
Sementara itu, Nurbayu menyifatkan kemudahan pembiayaan pembekal berkenaan sebagai langkah penting dalam mengukuhkan hubungan dagangan dan memperluas kehadiran ekonomi Malaysia di peringkat global.
"EXIM Bank berbangga menjadi rakan strategik kepada Pertama Ferroalloys dalam usaha mereka meningkatkan kecekapan operasi dan pengeluaran.
"Kerjasama ini membuktikan komitmen berterusan EXIM Bank dalam menyokong pertumbuhan perdagangan yang mampan serta peranan penting Malaysia dalam ekonomi global," ujarnya. - DagangNews.com








