ExecuJet MRO terima kelulusan tambahan EASA, FAA bagi luaskan keupayaan penyelenggaraan pesawat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ExecuJet MRO terima kelulusan tambahan EASA, FAA bagi luaskan keupayaan penyelenggaraan pesawat

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 11 Dis – ExecuJet MRO Services Malaysia memperluas keupayaan penyelenggaraan apabila meraih kelulusan tambahan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).

 

Anak syarikat milik penuh Dassault Aviation itu berkata, EASA meluluskan ExecuJet MRO Services Malaysia untuk menjalankan pemeriksaan penyelenggaraan barisan dan penyelenggaraan asas ke atas pesawat Falcon 7X.

 

Usaha tersebut dapat dilaksanakan terus di kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan penyemakan menyeluruh (MRO) miliknya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor.

 

Selain itu, EASA turut memberi kelulusan bagi kerja ujian tanpa musnah (NDT) melibatkan kaedah ultrasonik, arus pusar (eddy current), partikel magnet dan penetrant.

 

FAA dari Amerika Syarikat (AS) pula meluluskan dua lagi kaedah NDT tambahan menggunakan pemeriksaan ultrasonik dan penetrant.

 

Menurut Naib Presiden Wilayah Asia ExecuJet MRO Services, Ivan Lim, kelulusan penyelenggaraan asas bagi Falcon 7X adalah signifikan kerana terdapat permintaan daripada pesawat Falcon berdaftar di Eropah yang beroperasi atau melalui Asia. 

 

"Dengan memiliki pensijilan EASA, yang diiktiraf banyak pengawal selia penerbangan global, menunjukkan kami memenuhi syarat ketat yang ditetapkan," katanya.

 

Beliau berkata, penambahan keupayaan NDT ini amat penting kerana ia melengkapi kerja penyelenggaraan asas berat, membantu kami mengesan kecacatan struktur dengan lebih cekap serta mengurangkan gangguan masa henti tidak berjadual.

 

Kelulusan baharu daripada EASA dan FAA itu mengukuhkan lagi kedudukan ExecuJet MRO Services Malaysia sebagai pusat penyelenggaraan pesawat perniagaan bertaraf antarabangsa di rantau ini. - DagangNews.com