Evergreen Max Cash terima kelulusan empat lesen pajak gadai baharu, rangkaian cawangan lepasi 100 pada 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Evergreen Max Cash terima kelulusan empat lesen pajak gadai baharu, rangkaian cawangan lepasi 100 pada 2026

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 22 Dis – Penyedia perkhidmatan pajak gadai, Evergreen Max Cash Capital Bhd (EMCC) memperoleh kelulusan bagi empat lesen pajak gadai baharu, sekali gus memperluas rangkaian serta liputan geografinya bagi menyokong pertumbuhan pendapatan kumpulan.

 

Dalam kenyataan hari ini, EMCC memaklumkan kelulusan itu diperoleh daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melibatkan pembukaan dua cawangan di Pahang serta masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak.

 

Setakat ini, EMCC mengendalikan 98 cawangan, terdiri daripada 29 kedai pajak gadai konvensional dan 69 kedai pajak gadai Islam merangkumi Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Terengganu.

 

Empat cawangan yang baru diluluskan itu dijangka mula beroperasi pada suku kedua 2026, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan cawangan kumpulan kepada lebih 100 buah.

 

Pengarah Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan EMCC, Datuk Low Kok Chuan berkata, pencapaian tersebut amat signifikan memandangkan kumpulan itu hanya disenaraikan di Bursa Malaysia pada September 2023 ketika EMCC mengendalikan hanya 22 cawangan.

 

“Dalam tempoh kurang daripada tiga tahun, EMCC telah berjaya mengembangkan rangkaian cawangannya lebih daripada empat kali ganda, sekali gus membuktikan kebolehskalaan model perniagaan kami serta komitmen berterusan terhadap strategi pengembangan kumpulan,” katanya.

 

Menurut beliau, kelulusan yang diberikan juga mencerminkan sokongan KPKT terhadap industri pajak gadai yang berperanan menyediakan kecairan jangka pendek kepada individu yang mempunyai akses terhad kepada pembiayaan kredit konvensional, selain menandakan keyakinan pihak berkuasa terhadap keupayaan operasi dan pematuhan kawal selia EMCC. - DagangNews.com