KUALA LUMPUR 8 Dis – Perkhidmatan tren elektrik (ETS) akan mula beroperasi ke JB Sentral bermula 12 Disember 2025, melibatkan lanjutan empat perkhidmatan sedia ada laluan KL Sentral–Kluang–KL Sentral ke JB Sentral, kata Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
KTMB dalam kenyataan hari ini berkata, pengoperasian ETS ke Johor Bahru itu menandakan projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) yang melibatkan pembinaan jajaran sepanjang 192 kilometer dan 11 stesen telah siap mengikut sasaran yang ditetapkan.
Bagaimanapun, menurut KTMB, pelaksanaan perkhidmatan ETS ke sektor utara akan diaktifkan secara berfasa, bergantung kepada proses pentauliahan set tren ETS.
Tiket boleh dibeli melalui aplikasi KITS Style, mesin kios dan laman sesawang rasmi KTMB bermula 9 Disember 2025 jam 12.30 tengah malam, dengan jualan tiket bagi perjalanan sehingga Mei 2026.
Kadar tambang bagi laluan KL Sentral–JB Sentral bermula dari RM82 sehala.
Sehubungan itu, KTMB berkata ia menawarkan diskaun istimewa 30% bagi perkhidmatan ETS sektor Selatan untuk tempoh perjalanan dari 12 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026.
Penumpang boleh menikmati tawaran tersebut dengan menggunakan kod promosi JBBEST, dengan sebanyak 5,000 kod promosi disediakan, tertakluk kepada terma dan syarat.
Ketua Pegawai Teknikal KTMB yang menanggung tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata pembukaan perkhidmatan ETS ke JB Sentral membolehkan rakyat Johor menikmati perjalanan terus ke KL Sentral sebelum menyambung ke destinasi lain di Utara dan Pantai Timur.
Beliau berkata, kemudahan pengangkutan awam yang selamat, selesa dan bersepadu itu turut memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dari segi mobiliti harian, pertumbuhan pelancongan dan aktiviti ekonomi Johor, termasuk kemasukan pelancong dari Singapura.
Menurutnya, pelaksanaan perkhidmatan itu adalah tepat pada masanya menjelang musim cuti sekolah dan penghujung tahun, sekali gus meningkatkan pergerakan domestik serta merancakkan aktiviti perniagaan di kedua-dua arah.
KTMB berkata orang ramai digalakkan merancang perjalanan lebih awal dan membeli tiket lebih awal bagi menikmati tambang lebih fleksibel serta mengelakkan pembelian saat akhir.
Pengguna juga diingatkan supaya tiba sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu berlepas, kerana pintu masuk akan ditutup lima minit sebelum tren bergerak.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.ktmb.com.my atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200. - DagangNews.com








