KUALA LUMPUR 14 Okt – ES Sunlogy Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Savelite Engineering Sdn Bhd bersetuju untuk membayar jumlah penghakiman yang tertunggak kepada Askey Media Technology Sdn Bhd sebanyak RM1.11 juta secara ansuran bulanan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, bayaran tersebut akan dibuat dalam lapan ansuran bulanan bersama kadar faedah tahunan sebanyak 5%.
“Syarikat juga bersetuju membuat bayaran segera sebanyak RM10,000 bagi kos guaman kepada Askey.
“Jumlah keseluruhan tersebut merangkumi prinsipal sebanyak RM768,900, faedah terkumpul sehingga 1 Oktober 2025 sebanyak RM333,679 dan kos sebanyak RM10,000,” kata ES Sunlogy.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian, Savelite akan menyerahkan cek bertarikh masa depan (post-dated cheques) kepada peguam Askey pada atau sebelum 15 Oktober 2025.
Sebagai balasan, Askey bersetuju untuk tidak memulakan sebarang tindakan pelaksanaan atau prosiding penggulungan terhadap Savelite sepanjang tempoh perjanjian tersebut, dengan syarat semua bayaran dibuat mengikut jadual yang dipersetujui.
Persetujuan itu adalah usaha untuk menyelesaikan pertikaian hutang antara kedua-dua pihak tanpa melalui proses undang-undang lanjut yang boleh memberi kesan kepada operasi perniagaan Savelite.
ES Sunlogy dalam kenyataannya berkata, penyelesaian ini membolehkan syarikat memberi tumpuan kepada aktiviti perniagaan terasnya.
“Syarikat memberi komitmen untuk mematuhi jadual pembayaran yang dipersetujui bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang lanjut daripada pihak pemiutang,” katanya.
Pertikaian antara kedua-dua pihak bermula apabila Savelite Engineering hanya menyiapkan kerja ubah suai bangunan pejabat dua tingkat dan gudang satu tingkat termasuk komponen mekanikal serta elektrik pada 16 September 2017, iaitu setahun lewat daripada jadual asal.
Kelewatan ini menyebabkan Askey mengalami kerugian sewa dan tuntutan pampasan daripada penyewa premis, sekali gus membawa kepada tindakan saman di mahkamah. - DagangNews.com








