ES Sunlogy raih subkontrak RM15.22 juta untuk projek pangsapuri di Johor Bahru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ES Sunlogy raih subkontrak RM15.22 juta untuk projek pangsapuri di Johor Bahru

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Jan – ES Sunlogy Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Savelite Engineering Sdn. Bhd memperoleh subkontrak bernilai RM15.22 juta bagi kerja-kerja bekalan, pemasangan serta penyelenggaraan  elektrik untuk projek pembangunan pangsapuri di Johor Bahru.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ES Sunlogy berkata Savelite telah menerima Surat Lantikan (LOA) bertarikh 25 Julai 2025 daripada JY Consult PLT yang bertindak bagi pihak Parkland Southern Sdn. Bhd pada 6 Januari 2026.

 

“Skop kerja melibatkan pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan perkhidmatan elektrik termasuk sistem telefon serta voltan rendah tambahan bagi cadangan pembangunan satu blok pangsapuri perkhidmatan setinggi 36 tingkat.

 

“Ia merangkumi dua menara dengan jumlah 1,078 unit di Lot 156682, Lebuhraya Johor Bahru–Pasir Gudang, Mukim Plentong, Johor Bahru,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Fasa pertama projek itu merangkumi dua menara pangsapuri perkhidmatan setinggi 29 tingkat setiap satu, selain podium tujuh tingkat yang menempatkan kemudahan rekreasi, tempat letak kenderaan enam tingkat serta unit rumah pengawal.

 

Menurut ES Sunlogy, Savelite akan memasuki perjanjian sub-kontrak dengan TSB Builders Sdn. Bhd selaku kontraktor utama.

 

Nilai sub-kontrak adalah pada harga tetap dan tidak tertakluk kepada sebarang pelarasan akibat turun naik kos termasuk peningkatan duti import, tarif dan cukai sepanjang tempoh kontrak.

 

Kerja-kerja kontraktor utama bermula pada 1 Julai 2025, manakala tempoh siap akan mengikut jadual yang ditetapkan oleh kontraktor utama.

 

Dari segi kesan kewangan, ES Sunlogy menjangkakan penerimaan LOA ini akan memberi sumbangan positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham serta kewangan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek. 

 

Bagaimanapun, ia tidak memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham utama syarikat.

 

Syarikat turut memaklumkan tiada risiko luar biasa yang dijangka timbul selain risiko operasi biasa berkaitan pelaksanaan projek dan langkah mitigasi akan diambil sekiranya perlu.

 

Selain itu, tiada pengarah atau pemegang saham utama ES Sunlogy yang mempunyai kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam projek berkenaan. - DagangNews.com