ES Sunlogy catat pendapatan RM324.7 juta bagi FY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ES Sunlogy catat pendapatan RM324.7 juta bagi FY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Sept – ES Sunlogy Bhd, penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) mencatatkan prestasi kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025 (FY2025) dengan merekodkan pendapatan RM324.7 juta.

 

Syarikat itu merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM15.3 juta.

 

Prestasi cemerlang itu diterjemahkan kepada pendapatan asas sesaham sebanyak 2.2 sen, manakala nilai aset bersih sesaham syarikat berada pada paras 16 sen.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, segmen M&E kekal sebagai pemacu utama, menyumbang sebahagian besar hasil berjumlah RM78.2 juta atau 91.5% daripada jumlah pendapatan pada suku keempat sahaja.

 

“Bagi suku keempat berakhir 31 Julai 2025 (4QFY25), keuntungan selepas cukai melonjak lebih dua kali ganda kepada RM5.3 juta berbanding suku sebelumnya.

 

“Ini disokong oleh pelaksanaan projek yang tersusun dan permintaan berterusan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

“Pendapatan suku tersebut turut meningkat 13.1% kepada RM85.5 juta daripada RM75.6 juta pada suku ketiga,” katanya dalam makluman itu.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan ES Sunlogy, Khor Chuan Meng berkata, prestasi positif itu mencerminkan momentum syarikat dalam melaksanakan projek dengan baik serta memperkukuh kedudukan dalam pasaran tenaga bersih.

 

“Pertumbuhan suku ke suku yang kukuh ini menegaskan kemampuan kami memberi nilai konsisten kepada pemegang saham disokong oleh buku pesanan kukuh dan segmen M&E yang berdaya tahan.

 

“Fokus kami dalam infrastruktur dan tenaga boleh diperbaharui meletakkan syarikat pada kedudukan baik untuk merebut peluang seiring agenda pembangunan nasional serta sasaran peralihan tenaga Malaysia,” katanya.

 

Pada akhir FY2025, syarikat memiliki buku pesanan belum dibil bernilai RM180.4 juta, yang menyediakan pendapatan kukuh untuk tahun kewangan semasa (FY2026).

 

Khor berkata, pihaknya kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan dalam kedua-dua sektor infrastruktur dan tenaga bersih, didorong oleh akreditasi Kelas A daripada Suruhanjaya Tenaga dan pensijilan G7 daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

 

Beliau menambah, keupayaan itu membolehkan syarikat bersaing untuk projek berskala besar di peringkat nasional. - DagangNews.com