KUALA LUMPUR 15 Dis – EP Manufacturing Berhad (EPMB) dan XPeng mengumumkan kerjasama strategik bagi memulakan pengeluaran tempatan kenderaan elektrik (EV) pintar di Melaka, Malaysia.
Kerjasama ini memberi peluang kepada XPeng memanfaatkan kepakaran pembuatan EPMB, kapasiti pengeluaran berdaya saing dan pasaran untuk menghasilkan EV pintar moden yang disesuaikan dengan citarasa pengguna di Malaysia dan ASEAN.
Pengeluaran tempatan dijangka memperluaskan lagi integrasi XPeng ke dalam pasaran serantau, meningkatkan daya tindak balas terhadap permintaan pelanggan dan mengukuhkan kelebihan daya saing syarikat.
Inisiatif ini juga sejajar dengan visi kerajaan Malaysia untuk memperkasakan ekonomi hijau dan pembangunan keupayaan pembuatan berteknologi tinggi, selain menyumbang kepada ekosistem industri kenderaan tenaga baharu (NEV) di negara ini.
Kerjasama strategik itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan mahir di peringkat tempatan, termasuk dalam sektor pengeluaran, pemasangan dan penyelenggaraan EV.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, kerjasama itu menggabungkan pengalaman lebih empat dekad EPMB dalam pembuatan automotif dengan inovasi kecerdasan dan elektrifikasi XPeng.
“Matlamat utama kerjasama ini adalah untuk menyampaikan EV pintar berkualiti tinggi kepada pengguna Malaysia dan menyokong cita-cita perindustrian mampan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Naib Presiden XPeng, James Wu berkata, pengeluaran tempatan di Malaysia merupakan pencapaian penting dalam strategi global syarikat dan menegaskan komitmen jangka panjang terhadap rantau ASEAN.
“Kerjasama dengan EPMB membolehkan XPeng berada lebih dekat dengan pelanggan, mempercepatkan respons pasaran dan memperkenalkan teknologi pintar syarikat secara sistematik,” katanya.
Dari Januari hingga November 2025, penghantaran luar negara XPeng mencecah 39,773 unit, meningkat 95 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Rangkaian jualan dan perkhidmatan XPeng kini meliputi 52 negara dan wilayah dengan 321 cawangan luar negara dan projek pengeluaran di Malaysia dijangka menyokong operasi sedia ada di Eropah serta Asia-Pasifik.
EPMB memiliki lebih 40 tahun pengalaman sebagai pembekal Tier 1 kepada jenama automotif antarabangsa dan mempunyai kilang pemasangan di Melaka, manakala XPeng membangunkan sendiri teknologi bantuan pemandu (ADAS) dan sistem operasi kereta pintar.
Kerjasama ini dijangka mempercepatkan penembusan pasaran EV pintar di Malaysia dan ASEAN, menyokong pembangunan teknologi tinggi, serta membina ekosistem kenderaan elektrik yang bersepadu melibatkan pengeluaran, jualan, pengecasan dan operasi pengguna.- DagangNews.com








