KUALA LUMPUR 12 Dis – Eastern & Oriental Bhd (E&O) merasmikan Jambatan Andaman Gurney, sekali gus menandakan pembukaan rasmi pintu masuk baharu ke Pulau Andaman dan mengukuhkan komitmen pemaju itu terhadap pembangunan berorientasikan kelestarian di pesisir utara Pulau Pinang.
Jambatan lapan lorong sepanjang 1.2 kilometer itu dilengkapi laluan pejalan kaki empat meter di kedua-dua sisi bagi mewujudkan hubungan lancar antara ruang awam Gurney Bay dan Pulau Andaman.
Pengerusi Eksekutif E&O, Datuk Seri Tee Eng Ho berkata jambatan ikonik itu dibangunkan sebagai infrastruktur utama yang menyokong rancangan induk pembangunan Andaman Island berdasarkan konsep bandar 15 minit, di mana tempat kerja, pendidikan, rekreasi, hospitaliti dan kediaman boleh dicapai dalam jarak berjalan kaki atau berbasikal.
“Pembukaan Jambatan Andaman Gurney akan meningkatkan kecekapan perjalanan dengan mengurangkan masa perjalanan antara Pulau Andaman dan Gurney Drive daripada 20 minit kepada kira-kira lima minit,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian di sini hari ini.
Menurutnya, jambatan itu juga mempromosi mobiliti rendah kenderaan serta aktiviti rekreasi tepian air, sekaligus meningkatkan akses untuk penduduk dan pelawat.
Majlis perasmian turut disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, bersama Tee dan barisan pengurusan kanan E&O.
Sementara itu, Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata jambatan tersebut merupakan jambatan kedua menghubungkan Pulau Andaman selepas siapnya Jambatan Andaman pertama pada 2022.
Beliau yakin pembangunan Andaman Island kekal kukuh, disokong oleh kejayaan jualan dua pelancaran pertamanya The Meg dan Arica, yang telah membentuk komuniti kediaman awal di pulau itu.
Momentum diteruskan dengan projek kondominium berkonsep resort, The Lume.
“Setiap presint yang dibangunkan mengukuhkan visi E&O untuk mewujudkan bandar 15 minit yang menggabungkan kediaman, tempat kerja, pendidikan, hospitaliti, runcit dan rekreasi dalam satu ekosistem bersepadu,” katanya.
Kon Yeow menyifatkan projek Andaman sebagai antara pembangunan perbandaran paling bercita-cita tinggi di rantau ini, sambil menegaskan peranan jambatan baharu itu sebagai pemangkin sambungan antara Gurney Drive dan komuniti pertumbuhan baharu di Pulau Andaman.
“Ini mungkin kelihatan hanya seperti sebuah jambatan, tetapi bagi Pulau Pinang ia melambangkan sesuatu yang jauh lebih besar, kemajuan dalam konektiviti, perancangan yang baik dan usaha membina masa depan bersama,” katanya.
Beliau turut mengimbas perjalanan panjang pembangunan Andaman dan perancangan menyeluruh di sebalik pembentukan koridor pertumbuhan utara negeri itu. - DagangNews.com








