KUALA LUMPUR 18 Julai - Pestec International Bhd mengambil keputusan menyingkirkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Lim Pay Chuan daripada jawatannya berkuat kuasa serta-merta selepas enggan kembali bekerja.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Pay Chuan ditetapkan semula jawatan sebagai Pengarah Bukan Eksekutif.
Keputusan mengenai kedudukannya dibuat selepas "pertimbangan sewajarnya" oleh lembaga pengarah semasa mesyuarat pada 17 Julai 2025.
“Lembaga pengarah memberi jaminan kepada semua pemegang saham dan pihak berkepentingan, perkara ini tidak akan memberi sebarang kesan terhadap operasi kumpulan,” katanya.
Keputusan ini dibuat selepas Pay Chuan enggan menyambung semula tugasnya dalam syarikat semasa percubaan berdamai pada Isnin yang dianjurkan oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor dan dihadiri oleh wakil Pestec serta beliau sendiri.
Mesyuarat tersebut diadakan susulan satu representasi yang difailkan Pay Chuan pada 2 Julai di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang secara amnya berkaitan dengan pemecatan tidak adil.
Pestec telah mengeluarkan jawapan pada hari yang sama, menafikan dakwaan pemecatan konstruktif dan meminta agar Pay Chuan kembali bekerja.
Perkara itu bermula selepas Pay Chuan mendakwa beliau telah "dipecat secara konstruktif" dalam satu surat bertarikh 1 Julai kepada Pestec.
“Syarikat menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Pay Chuan berkenaan pemecatan konstruktif dan mengekalkan semua haknya dalam hal ini,” kata Pestec.
Pada 11 Jun lalu, Pay Chuan tidak lagi menjadi pemegang saham utama selepas satu pelaksanaan terbitan saham terhad yang diumumkan pada 10 Mac 2025, melibatkan penerbitan 231.79 juta saham baharu.
Langkah itu telah mencairkan pegangan saham langsungnya daripada 4.97% kepada 4.52%, manakala pegangan tidak langsungnya menurun daripada 0.06% kepada 0.05%.
Pestec turut mengumumkan secara berasingan, Lim Ah Hock, bapa saudara kepada Pay Chuan dan juga Timbalan Pengerusi syarikat, telah dilantik semula sebagai Pengarah Bukan Eksekutif bermula Khamis tetapi tiadak penjelasan diberikan.
Syarikat itu mencatatkan kerugian dan telah dua kali menukar tarikh akhir tahun kewangannya dalam tempoh dua tahun lepas.
Bagi tempoh 12 bulan yang berakhir pada 30 September 2024, syarikat melaporkan kerugian bersih sebanyak RM193 juta. - DagangNews.com








