Empyrion Digital peroleh lampu hijau bina kampus pusat data hiperskala di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Empyrion Digital peroleh lampu hijau bina kampus pusat data hiperskala di Johor

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 9 Dis – Empyrion Digital, pemaju pusat data dari Singapura, telah mendapat kelulusan untuk membina kampus pusat data hiperskala di Johor. 

 

Ini menandakan kemasukan pertama syarikat itu ke pasaran Malaysia ketika Johor semakin muncul sebagai hab infrastruktur digital serantau.

 

Empyrion Digital dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah menerima kelulusan bagi Perjanjian Bekalan Elektrik serta permohonan Pasukan Petugas Pusat Data bagi pembangunan tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Empyrion Digital, Mark Fong berkata, Malaysia kini muncul sebagai destinasi utama pembangunan pusat data hiperskala didorong oleh agenda transformasi digital yang kukuh, infrastruktur yang menyokong serta sokongan kerajaan.

 

“Kampus Pusat Data Johor (MY1) mencerminkan aspirasi berterusan Empyrion Digital untuk mengembangkan platform pan-Asia syarikat dan memenuhi keperluan pelanggan terhadap infrastruktur berskala besar, mesra alam dan bersedia untuk AI. Johor akan menjadi lokasi teras dalam strategi ini,” katanya.

 

Kampus MY1 akan dibangunkan di Nusajaya dalam Kluster Perindustrian SiLC di atas tanah seluas 34.9 ekar.

 

Menurut syarikat itu, MY1 direka sebagai fasiliti hiperskala generasi baharu dengan kapasiti melebihi 200MW, merangkumi lima bangunan berkapasiti 40MW setiap satu, dengan fasa pertama disasarkan siap beroperasi pada suku keempat 2026, manakala pembekalan elektrik terawal dijangka bermula September 2026.

 

Empyrion Digital turut memaklumkan projek itu telah memperoleh peruntukan bekalan elektrik awal sebanyak 145MW daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB).

 

Laporan industri mengunjurkan Johor bakal mewakili 60% daripada kapasiti pusat data Malaysia menjelang 2030, mencerminkan pengembangan pesat jejak infrastruktur digital negeri itu.

 

Pada masa ini, terdapat 47 fasiliti pusat data yang telah beroperasi, dirancang atau dalam pembinaan di seluruh Johor, dipacu oleh permintaan pesat terhadap beban kerja pengkomputeran awan hiperskala, AI serta limpahan permintaan rentas sempadan dari Singapura.

 

Empyrion Digital berkata, MY1 turut dijangka meningkatkan kesalinghubungan digital rentas sempadan antara Johor dan Singapura melalui platform ketersambungan saudaranya, SPTel, di bawah AQX Digital Infrastructure milik Seraya Partners.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SPTel, Ernest Lee berkata pihaknya melihat potensi besar dalam kerjasama itu bagi menyepadukan sambungan rangkaian yang berdaya tahan serta keupayaan edge cloud di kedua-dua pasaran.

 

“Dengan menggabungkan rangkaian perisian selamat SPTel dan jejak pusat data Empyrion Digital, syarikat menyasarkan untuk menawarkan penyelesaian infrastruktur digital yang lebih pantas dan fleksibel kepada pelanggan serantau,” katanya.

 

Empyrion Digital turut memaklumkan MY1 merupakan pelaburan terbesar syarikat setakat ini. Apabila siap sepenuhnya, kampus tersebut akan menyertai rangkaian projek operasi dan pembangunan Empyrion Digital di Singapura, Seoul, Tokyo, Taipei dan Bangkok, sekali gus menjadikan jumlah kapasiti IT serantaunya melebihi 200MW. - DagangNews.com