KUALA LUMPUR 26 Ogos – Elridge Energy Holdings Berhad mencatatkan prestasi kewangan kukuh bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (Q2 2025) dengan keuntungan bersih separuh pertama melonjak 14.8% kepada RM26.01 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Elridge Energy, Oliver Yeo berkata, peningkatan itu disokong oleh permintaan berterusan terhadap produk bahan api biomass di pasaran eksport utama.
“Bagi Q2 2025, Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM104.14 juta, naik sedikit berbanding RM103.30 juta dalam tempoh sama 2024.
“Keuntungan sebelum cukai pula berjumlah RM16.54 juta, meningkat daripada RM15.48 juta tahun lalu. Selepas mengambil kira cukai sebanyak RM4.11 juta, Kumpulan mencatatkan keuntungan bersih RM12.43 juta meningkat daripada RM11.71 juta pada Q2 2024,” katanya dalam satu kenyataan.
Secara kumulatif bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2025, hasil melonjak 12.2% kepada RM213.81 juta berbanding RM190.59 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan bersih meningkat daripada RM22.66 juta kepada RM26.01 juta.
Pendapatan asas sesaham ialah 62 sen bagi Q2 2025 dan 1.30 sen bagi separuh pertama, berbanding 0.59 sen dan 1.13 sen sebelum ini.
Selain itu, beliau berkata, prestasi suku kedua membuktikan daya tahan operasi syarikat serta permintaan kukuh terhadap produk bahan api biomass.
“Palm Kernel Shells (PKS) terus menjadi teras perniagaan kami, menyumbang RM89.25 juta atau 85.7% daripada hasil pada Q2 2025, konsisten berbanding RM88.99 juta atau 86.2% tahun lalu.
“Kestabilan ini menonjolkan asas kukuh produk utama kami, disokong oleh jualan pelet kayu bernilai RM14.89 juta,” katanya.
Tambahnya, dengan pertumbuhan hasil yang kekal dan keuntungan meningkat tahun ke tahun, Elridge Energy berada di landasan tepat untuk memenuhi komitmen pertumbuhan selepas penyenaraian.
“Pelan untuk mengembangkan operasi syarikat juga berjalan mengikut jadual dengan kilang baharu di Kuantan, Pahang dan Pasir Gudang, Johor dijangka siap tahun ini, manakala kilang di Lahad Datu, Sabah disasarkan siap menjelang tahun kewangan berakhir 2026.
“Setiap tapak akan menempatkan dua barisan pengeluaran PKS dengan kapasiti tahunan sebanyak 240,000 metrik tan.
“Ini akan memperkukuh keupayaan kami mendapatkan kontrak eksport jangka panjang sekali gus meningkatkan peranan dalam rantaian bekalan biomass serantau,” jelasnya.
Elridge Energy Holdings Berhad ditubuhkan pada 2024 sebagai syarikat pegangan pelaburan, melalui anak syarikat milik penuh Bio Eneco Sdn Bhd.
Kumpulan kini muncul sebagai pemain utama dalam pengeluaran dan perdagangan produk bahan api biomass, khususnya PKS dan pelet kayu, yang digunakan untuk penjanaan elektrik di loji kuasa dan bahan api dandang industri pelbagai sektor pembuatan. - DagangNews.com








