Eksport solar merosot 40%: Kerajaan tumpu pasaran baharu, perkasa latihan tenaga kerja - MITI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport solar merosot 40%: Kerajaan tumpu pasaran baharu, perkasa latihan tenaga kerja - MITI

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Dis – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang memperkukuh strategi bagi memajukan industri solar negara, susulan kejatuhan ketara eksport solar pada tahun 2024 ekoran penamatan layanan keistimewaan cukai oleh Amerika Syarikat (AS).

 

Menurut MITI, eksport sel photovoltaic (PV) dalam bentuk modul dan panel mencatat RM11.2 bilion pada 2024, merosot 40.74% berbanding RM18.9 bilion pada tahun sebelumnya.

 

“Penurunan itu berpunca daripada penamatan tarif istimewa oleh AS terhadap produk solar dari Malaysia, Thailand dan Vietnam yang berakhir pada 6 Jun 2024.

 

“Walaupun begitu, AS kekal sebagai pasaran terbesar dengan nilai eksport RM5.05 bilion atau 45%, diikuti India (RM3.69 bilion; 33%) dan Vietnam (RM1.34 bilion; 12%). 

 

“Baki 10% meliputi destinasi seperti Pakistan, Ukraine, Turkiye, Filipina, Korea Selatan dan Argentina,” kata MITI dalam jawapan bertulis di Parlimen. 

 

Ia bagi menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan memajukan industri solar serta penambahan pekerja tenaga mahir dalam sektor tersebut.

 

Bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional, MITI melalui MATRADE giat membuka akses baharu melalui penyertaan dalam pameran antarabangsa termasuk di Jerman, India dan Thailand. 

 

MITI berkata, syarikat tempatan turut digalakkan memanfaatkan kemudahan yang ada di bawah kategori syarikat teknologi hijau melalui Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS).

 

“Usaha itu telah menunjukkan perkembangan positif, dengan pertumbuhan eksport elektrik dan elektronik (E&E) ke pasaran baharu termasuk Mexico dan negara-negara ASEAN, meskipun AS kekal pasaran dominan.

 

“Di peringkat domestik, kerajaan meneruskan insentif fiskal melalui Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) sehingga 31 Disember 2026 bagi menggalakkan aktiviti penyewaan solar selain meneliti dasar kuota penggunaan barangan tempatan dalam projek solar nasional bersama Kementerian Kewangan dan PETRA,” katanya.

 

MITI turut mempercepatkan pembinaan tenaga kerja mahir dalam sektor solar melalui program upskilling dan reskilling merangkumi pensijilan kritikal seperti Grid-Connected Photovoltaic (GCPV) System Design, GCPV untuk Wireman dan Chargeman, serta pemasangan dan penyelenggaraan GCPV dan Off-Grid Photovoltaic (OGPV) System Design. - DagangNews.com