KUALA LUMPUR 18 Julai - Eksport Malaysia mencatatkan penyusutan mengejutkan sebanyak 3.5% kepada RM121.72 bilion pada bulan Jun disebabkan penurunan ketara dalam penghantaran produk minyak dan gas serta pengurangan eskport ke China, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Tinjauan Bloomberg sebelum ini meramalkan pertumbuhan median sebanyak 5.4% bagi bulan Jun.
Penyusutan itu merupakan yang kedua bagi tahun ini selepas penurunan 1.1% tahun ke tahun pada bulan Mei. Secara bulanan, eksport susut sebanyak 3.9%.
“Berhubung langkah tarif oleh Amerika Syarikat (AS), Malaysia kekal komited untuk meneruskan libat urus bagi mencapai susunan perdagangan dua hala yang seimbang dan saling menguntungkan,” kata kementerian tersebut.
Penghantaran produk elektrik dan elektronik — yang merangkumi 44% daripada jumlah eksport — meningkat sedikit sebanyak 1.3% pada bulan Jun berbanding tahun sebelumnya.
Eksport minyak sawit serta jentera, peralatan dan alat ganti juga mencatatkan peningkatan pada bulan tersebut.
Namun, penghantaran keluar produk petroleum merosot sebanyak 28%, manakala gas asli cecair (LNG) jatuh 27%.
Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang terbesar Malaysia iaitu China, menyusut sebanyak 9.3% pada bulan Jun. Bagaimanapun, eksport ke ekonomi maju seperti AS dan Kesatuan Eropah (EU) menunjukkan peningkatan.
Sementara itu, jumlah import kasar meningkat 1.2% kepada RM113.13 bilion, dipacu permintaan terhadap barangan bukan pengangkutan dan barangan tahan lama.
Berbanding bulan Mei, import pada bulan Jun turut meningkat sebanyak 1.2%.
Import barangan modal melonjak sebanyak 22%, manakala import barangan perantaraan — produk separuh siap untuk pemasangan akhir seperti komponen elektronik — menyusut 1.2% pada bulan Jun disebabkan penurunan bahan api utama dan pelincir. Import barangan penggunaan meningkat 1.6%.
Penurunan ketara dalam eksport, digabungkan dengan sedikit peningkatan dalam import, menyebabkan lebihan dagangan mengecil sebanyak 40% tahun ke tahun pada bulan Jun kepada RM8.59 bilion. Namun secara bulanan, lebihan dagangan melonjak 11 kali ganda pada bulan Jun.- DagangNews.com








