Eksport Malaysia diramal susut 10% akibat tarif timbal balik Trump 24% - MIDF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport Malaysia diramal susut 10% akibat tarif timbal balik Trump 24% - MIDF

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 April - Jumlah eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) diramal menyusut 10% selepas Presiden Donald Trump mengumumkan negara ini akan dikenakan tarif timbal balik sebanyak 24%.

 

MIDF Research berkata, dengan andaian kenaikan tarif itu juga menyebabkan permintaan dari negara serantau menjadi lemah, tambahan penurunan 10% dalam eksport ke negara serantau (seperti Singapura, Taiwan, Korea Selatan, Vietnam, Jepun dan juga China) boleh menyebabkan keseluruhan eksport mengalami penurunan yang lebih besar.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pengeluaran yang lebih lemah juga akan mengakibatkan pengurangan import barangan pengantara seperti antara lain produk elektrik dan elektronik (E&E), jentera, peralatan & alat ganti serta pembuatan logam.

 

"Dengan mengambil kira pengurangan import, kami menganggarkan kesan bersih kelembapan perdagangan luar terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia boleh mencapai -1.5ppt.

 

"Malaysia bagaimanapun masih boleh mengekalkan pertumbuhan sekitar +3.0% (memandangkan ramalan garis dasar kami yang sedia ada pada +4.6%) tahun ini, disokong oleh pertumbuhan yang mampan dalam aktiviti ekonomi domestik," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Presiden Trump kenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas Malaysia

 

Terdahulu, Presiden AS ke-47 itu menerbitkan senarai rakan dagangan terbesar negara dan tarif timbal balik yang akan dikenakan AS ke atas mereka, dengan Malaysia amat tinggi dalam senarai itu.

 

Secara khususnya, Malaysia berada di tempat ke-11 dalam senarai tersebut, yang seterusnya mendedahkan, AS akan mengenakan tarif timbal balik 24% ke atas negara ini.

 

Menurut Trump, ini adalah sebagai tindak balas terhadap tarif 47% Malaysia yang dikenakan kepada AS, termasuk manipulasi mata wang dan halangan perdagangan, seperti di Rumah Putih.

 

MIDF Research berkata, kesan ke atas pelarasan perdagangan dan pengeluaran, bagaimanapun tertakluk kepada saiz dalam anjakan permintaan akhir (terutamanya dari AS) yang akan berlaku sebagai tindak balas kepada kenaikan harga jualan.

 

Katanya, sekiranya syarikat dapat menyerap sebahagian daripada kenaikan kos, ini boleh mengehadkan tekanan harga yang akan diserahkan kepada pengguna.

 

Pada ketika ini, kami tidak menjangka kejutan bekalan sementara daripada tarif timbal balik yang dikenakan oleh AS akan menyebabkan penguncupan mendadak dalam ekonomi global.

 

"Bagaimanapun, kesan ke atas perdagangan global mungkin lebih ketara memandangkan perang perdagangan terkini 2.0 turut melibatkan negara lain iaitu di luar ketegangan perdagangan AS-China semasa perang perdagangan sebelumnya.

 

"Sebaliknya, usaha  menggalakkan perdagangan yang lebih besar dengan rantau lain seperti BRICS dan ASEAN sebahagiannya akan mengimbangi permintaan yang lebih perlahan daripada AS," katanya. - DagangNews.com